Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pelaksanaan lima kluster reformasi undang-undang dan institusi tahun ini melibatkan beberapa pindaan dan penggubalan undang-undang utama.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia merangkumi kluster-kluster penting membabitkan aspek persaingan, jualan langsung, e-dagang, perlindungan pengguna serta pembiayaan perniagaan.

Jelas beliau, reformasi itu adalah sebahagian usaha KPDN dalam memperkukuh kawal selia pasaran, melindungi pengguna serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih adil dan mampan.

Katanya, kluster pertama melibatkan pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 yang bertujuan memperkasa peruntukan penyiasatan dan penguatkuasaan.

Ini bagi meningkatkan keupayaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam membanteras amalan kartel dan monopoli bermasalah secara lebih berkesan.

“Kluster kedua pula membabitkan pindaan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dengan penekanan kepada pemerkasaan kawal selia terhadap amalan jualan langsung serta skim pelaburan berisiko.

“Ia bagi melindungi pengguna daripada penipuan dan eksploitasi, di samping memastikan industri berkembang secara beretika dan mampan,” katanya semasa sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Armizan menyampaikan perutusan tahun baharu 2026 di kementeriannya yang turut dihadiri, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.

Mengulas lanjut beliau berkata, kluster ketiga adalah penggubalan atau penambahbaikan undang-undang berkaitan e-dagang di bawah Akta Perdagangan Elektronik 2006, khususnya berkaitan akauntabiliti platform e-dagang dan perlindungan pengguna dalam transaksi digital.

Kluster keempat pula katanya, menyentuh penggubalan undang-undang berkaitan ‘Lemon Law’ di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Ia bertujuan memperkukuh peruntukan sedia ada serta mewujudkan prosedur dan mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih terperinci, khususnya melibatkan tuntutan tebus rugi bagi kenderaan baharu.

Sementara itu, kluster kelima melibatkan penggubalan Undang-Undang Harta Alih Kepentingan Bercagar yang bertujuan mewujudkan sistem pendaftaran kepentingan bercagar ke atas harta alih, sama ada ketara atau tidak ketara, sebagai cagaran pinjaman.

Langkah ini kata Armizan dijangka memudahkan pembiayaan perniagaan dengan memberi kejelasan dan keselamatan kepada pemberi pinjaman melalui sistem pendaftaran sukarela yang diselia oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Tambahnya, pindaan dan pengenalan undang-undang berkenaan merupakan kesinambungan kepada kajian yang telah dijalankan sejak 2024 melibatkan maklum balas pelbagai pihak berkepentingan termasuk industri, agensi berkaitan, persatuan pengguna, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast