Armizan Mohd Ali.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merancang menggubal serta meminda beberapa undang-undang utama pada tahun ini bagi memperkukuh perlindungan pengguna dan memastikan ekosistem perdagangan lebih adil serta mampan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, antara fokus utama ialah penggubalan peruntukan berkaitan Lemon Law di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 khususnya bagi menetapkan prosedur dan mekanisme penyelesaian pertikaian tuntutan tebus rugi melibatkan pembelian kenderaan baharu.

“Sebenarnya kita sudah mempunyai undang-undang berkaitan namun masih terdapat beberapa kelompongan yang perlu ditangani.

“Isu ini penting bagi memastikan pendekatan terbaik dapat dilaksanakan termasuk mendapatkan buy-in dan penerimaan daripada industri, justeru libat urus serta perbandingan amalan terbaik (benchmarking) dengan negara lain perlu dibuat,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga KPDN hari ini.

Menurut Armizan, KPDN turut bercadang menggubal atau meminda undang-undang berkaitan e-dagang bagi menangani peningkatan aduan pengguna selain memastikan ekosistem e-dagang yang lebih kondusif dan mampan.

“Kita sedang meneliti bentuk kawal selia yang perlu dilaksanakan supaya kepentingan pengguna dilindungi khususnya apabila pembelian dibuat melalui platform e-dagang agar barangan yang diterima menepati kualiti dan kuantiti yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada lima kluster reformasi undang-undang dan institusi KPDN yang disasarkan untuk dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Selain itu, Armizan berkata, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 juga akan dipinda bagi memperkukuh kawal selia terhadap amalan jualan langsung serta skim pelaburan berisiko sekali gus melindungi pengguna daripada penipuan dan eksploitasi.

“Kita juga akan menggubal Undang-Undang Harta Alih Kepentingan Bercagar bagi mewujudkan sistem pendaftaran kepentingan bercagar ke atas harta alih sebagai cagaran pinjaman.

“Di samping itu, pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 akan dilaksanakan bagi memperkasa kuasa kawal selia Suruhanjaya Persaingan Malaysia dalam memerangi kartel dan monopoli bermasalah dalam pasaran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Armizan berkata, KPDN pada tahun ini memberi penekanan terhadap penterjemahan perancangan kepada pelaksanaan pelan tindakan yang memberi impak langsung kepada rakyat.

Usaha itu digerakkan melalui tiga indikator utama iaitu blueprint, footprint dan imprint.

Blueprint merujuk kepada dasar dan pelan, footprint pula pelaksanaan melalui inisiatif, program serta penguatkuasaan, manakala imprint adalah hasil yang boleh diukur seperti petunjuk prestasi, kestabilan harga dan penyertaan rakyat,” katanya.

Beliau menambah, KPDN akan meneruskan kesinambungan pelaksanaan kerangka besar Hala Tuju yang bermula sejak 2024 melibatkan empat fokus utama iaitu Ketangkasan Penguatkuasaan, Pemacu Ekonomi Domestik, Daya Upaya dan Advokasi Kepenggunaan serta Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

“Bagi tahun 2026, gerak kerja hala tuju ini dianjakkan dengan memberi penekanan kepada tiga indikator iaitu blueprint, footprint dan imprint bagi memastikan aspirasi rakyat benar-benar dapat direalisasikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast