KUALA LUMPUR – Rakyat dijangka mempunyai akses kepada perlindungan kesihatan swasta pada kadar serendah RM80 sebulan menerusi pengenalan Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) asas yang akan dilaksanakan bermula tahun depan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelan berkenaan direka bagi menawarkan perlindungan hospital munasabah dan mampu milik khususnya bagi menampung kos rawatan penyakit lazim yang merangkumi hampir 99 peratus bil hospital.
“Perlindungan ini dijamin boleh diperbaharui sehingga usia 85 tahun dengan had tahunan yang munasabah untuk memastikan kebanyakan kos rawatan dapat ditanggung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) di Sasana Kijang di sini hari ini yang turut di hadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Pelan MHIT asas merupakan antara empat inisiatif utama di bawah strategi RESET yang dipersetujui Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi mengawal kenaikan kos penjagaan kesihatan swasta serta memperluas akses perlindungan kesihatan kepada rakyat.
Difahamkan, bagi individu berumur antara 30 hingga 35 tahun, premium bulanan dicadangkan pada kadar RM80 hingga RM120 manakala bagi kumpulan umur 61 hingga 65 tahun, premium dianggarkan antara RM280 hingga RM350 sebulan.
Bagi mereka berumur 75 tahun ke atas pula, premium bulanan dicadangkan sekitar RM500 hingga RM780, bergantung kepada kumpulan umur dan tahap perlindungan.
Had perlindungan tahunan ditetapkan sebanyak RM100,000 bagi individu berumur bawah 61 tahun manakala had RM150,000 ditawarkan kepada mereka yang berumur lebih 61 tahun.
Pelan MHIT asas memberi tumpuan kepada perlindungan kemasukan ke hospital, termasuk rawatan sebelum dan selepas hospitalisasi, rawatan susulan di klinik pengamal perubatan am (GP), fisioterapi serta penjagaan kejururawatan di rumah.
Selain itu, liputan turut merangkumi rawatan kos tinggi seperti kanser dan rawatan berteknologi tinggi tertakluk kepada penilaian keberkesanan kos melalui mekanisme Penilaian Teknologi Kesihatan.
Bagi mengawal inflasi kos perubatan, pelan itu memperkenalkan struktur bayaran bersama (co-payment) secara berperingkat dengan kadar bayaran lebih rendah dikenakan sekiranya rawatan diperoleh di hospital rangkaian yang lebih kos efektif.
Pelaksanaan sistem pembayaran berasaskan Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) juga akan dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan kos rawatan.
Pelan MHIT asas turut menetapkan manfaat dan premium yang diseragamkan bagi memudahkan perbandingan antara produk insurans dan takaful selain memastikan pendekatan pengunderaitan serta tuntutan yang lebih konsisten.
Sebagai pilihan tambahan, pemegang polisi boleh mendapatkan pakej penjagaan pencegahan dan kesihatan secara pilihan pada kadar diskaun hasil rundingan Kementerian Kesihatan dengan kos ditanggung sendiri.
Untuk pengguna yang memerlukan perlindungan lebih tinggi, pelan MHIT standard-plus turut ditawarkan dengan had tahunan lebih besar, namun melibatkan deduktibel lebih tinggi dan premium yang lebih rendah. – MalaysiaGazette
















