Lim Hui Ying.

BALIK PULAU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil tindakan segera bagi melindungi seorang kanak-kanak lelaki yang didakwa menjadi mangsa dera oleh bapa saudaranya di Petaling Jaya, Selangor.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, kanak-kanak berkenaan kini berada di bawah perlindungan JKM selepas pihaknya melakukan lawatan ke atas keluarga mangsa.

“Mangsa ketika ini sedang menerima rawatan di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Memang menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kanak-kanak ini dilindungi JKM dan segala maklumat mengenai mangsa juga sudah diambil,” katanya.

Hui Ying menyerahkan Smartboard di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sacred Heart di Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Smartboard di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sacred Heart di sini, hari ini.

Smartboard bernilai RM15,000 bagi kegunaan makmal sains sekolah berkenaan merupakan sumbangan peribadi Hui Ying.

Mengulas lanjut, Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan terhadap kes berkenaan dapat dijalankan dengan lancar.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 35 saat yang tular di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dirotan dan dibaling dengan kerusi di sebuah rumah di Petaling Jaya.

Susulan penularan video itu, polis menahan bapa saudara mangsa yang berusia 38 tahun bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa bertindak melawan ibu kepada suspek. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast