PUTRAJAYA – Mekanisme aduan rasmi yang diperkenalkan oleh Majlis Media Malaysia (MMM) disifatkan sebagai satu saluran profesional dan berinstitusi bagi membolehkan orang ramai serta pihak berkepentingan mengemukakan aduan berkaitan amalan kewartawanan, etika media dan kandungan berita.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau menyambut baik pengenalan mekanisme berkenaan yang dilihat mampu memperkukuh tadbir urus serta akauntabiliti dalam industri media negara.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan amat mengalu-alukan pengenalan mekanisme aduan oleh Majlis Media Malaysia.
Ini adalah satu saluran yang profesional dan berinstitusi untuk orang ramai, malah juga pihak berkepentingan, mengemukakan aduan berkaitan amalan kewartawanan, etika media dan kandungan berita,” katanya pada sidang media mingguan di kementeriannya di sini, hari ini.
Semalam, MMM mengumumkan mekanisme aduan rasmi itu kini dibuka dan beroperasi sepenuhnya sebagai saluran bebas dan tersusun bagi menangani isu berkaitan kandungan serta amalan media di negara ini.
Menurut MMM dalam satu kenyataan, sebarang aduan boleh dikemukakan melalui e-mel ke [[email protected]](mailto:[email protected]) atau menerusi laman web rasmi di [https://majlismedia.my/complaints/](https://majlismedia.my/complaints/).
Jelas kenyataan itu, mekanisme berkenaan dikendalikan di bawah Jawatankuasa Kod Tatakelakuan dan Aduan yang berfungsi secara bebas, telus dan tidak bersifat menghukum, selaras dengan prinsip kawal selia kendiri media.
Pengumuman pembukaan mekanisme tersebut dibuat susulan beberapa perkembangan terbaharu, termasuk isu melibatkan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mencetuskan perdebatan awam serta laporan polis yang dibuat oleh pihak tertentu berhubung perkara berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan memaklumkan, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zalihat Mustafa dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers Club, BBC) yang baharu, dengan beberapa perkara utama perlu diberi keutamaan selepas pelantikan itu termasuk pelantikan seorang setiausaha serta penyusunan semula komposisi Friends of Ministry (FOM) bagi setiap kementerian.
Katanya, pelantikan beliau dilihat sebagai langkah memperkukuh peranan ahli Parlimen penyokong kerajaan dalam menyokong agenda pentadbiran serta memperkemas hubungan antara kementerian dan wakil rakyat di peringkat Parlimen.
Antara fokus terdekat yang perlu diuruskan ialah pelantikan Setiausaha BBC bagi memastikan kelancaran pentadbiran dan penyelarasan aktiviti kelab berkenaan, selaras dengan peranan strategik BBC sebagai platform suara backbenchers kerajaan.
Selain itu, komposisi FOM bagi setiap kementerian juga akan diteliti semula memandangkan terdapat sejumlah ahli FOM yang kini telah dilantik sebagai anggota pentadbiran, sekali gus memerlukan penyesuaian baharu agar fungsi FOM terus berjalan dengan berkesan.
Langkah penstrukturan semula ini dijangka dapat memperkukuh peranan BBC dan FOM sebagai jambatan komunikasi antara kementerian dan ahli Parlimen penyokong kerajaan, di samping memastikan sokongan yang lebih tersusun terhadap dasar serta inisiatif kerajaan. – MalaysiaGazette
















