SEPANG – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 mula melaksanakan inisiatif ‘Green Lane’ atau laluan hijau bagi mempercepatkan pergerakan penumpang antarabangsa, sekali gus mengurangkan kesesakan di balai ketibaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu hasil kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) selepas beberapa bulan perbincangan.
“Selepas melepasi imigresen dan mengambil bagasi, sebelum ini semua penumpang perlu melalui satu laluan pemeriksaan kastam.
“Ini sering menyebabkan barisan panjang dan kesesakan di balai tuntutan bagasi,” katanya ketika ditemui media semasa tinjauan pelaksanaan Green Lane di KLIA Terminal 1, hari ini.

Kata beliau, menerusi sistem baharu itu, penumpang kini mempunyai tiga laluan keluar, iaitu dua laluan hijau dan satu laluan merah.
“Laluan hijau dikhaskan kepada penumpang yang tidak membawa sebarang barangan untuk diisytiharkan atau ‘nothing to declare’. Mereka boleh terus keluar tanpa perlu melalui pemeriksaan X-ray.
“Bagi penumpang yang membawa barangan untuk diisytiharkan, mereka perlu melalui laluan merah untuk berurusan dengan pihak Kastam, termasuk pembayaran duti jika perlu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Loke menegaskan, pelaksanaan Green Lane tidak menjejaskan aspek keselamatan negara kerana pemeriksaan berasaskan penilaian risiko masih dilaksanakan.
“Walaupun penumpang melalui laluan hijau, anggota AKPS dan Kastam masih mempunyai kuasa untuk menahan dan mengarahkan pemeriksaan sekiranya terdapat maklumat atau risikan berisiko tinggi,” katanya lagi.
Jelas beliau, keperluan memperkenalkan semula konsep laluan hijau itu selari dengan peningkatan mendadak jumlah penumpang di KLIA sejak pasca pandemik Covid-19.
“Setiap hari, Terminal 1 mencatatkan antara 80,000 hingga 90,000 penumpang, dengan kira-kira 60 peratus merupakan penumpang antarabangsa yang memerlukan pemeriksaan Kastam,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan Green Lane kini memasuki tempoh percubaan selama sebulan sehingga 26 Februari bagi menilai keberkesanan dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP).
“Jika hasilnya positif, SOP yang sama akan diperluaskan ke KLIA Terminal 2 dan seterusnya ke lapangan terbang antarabangsa lain seperti di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang dan Johor Bahru,” katanya.
Loke turut memaklumkan, inisiatif itu tidak melibatkan pertambahan anggota kerana penggunaan semula dan penempatan semula sumber sedia ada.
“Kita telah mengurangkan satu stesen pemeriksaan sebelum ini, jadi anggota boleh digerakkan semula untuk keperluan lain. Fokus kita adalah meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman penumpang,” katanya.
Beliau berharap penambahbaikan itu dapat menyokong peningkatan ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia serta menjadikan operasi KLIA lebih lancar dan efisien. -MalaysiaGazette















