JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini mengumumkan pelaksanaan perubahan struktural menyeluruh sebagai asas kepada Pelan Strategik UTM Ascend 2030.
Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, pelaksanaan tersebut menandakan satu titik perubahan penting dalam tahun ini dalam perjalanan universiti itu dengan penekanan kepada transformasi yang bersifat sistemik dan berasaskan nilai.
“Perubahan yang kita bawa hari ini bukan bersifat kosmetik atau retorik. Ia adalah perubahan struktural yang menyentuh cara universiti berfikir, berfungsi dan membuat keputusan, demi memastikan UTM kekal relevan, berdaya saing dan bermakna kepada kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 Naib Canselor UTM dan Majlis Peluncuran UTM Ascend 2030 di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Skudai di sini, hari ini.
Mohd Shafry berkata, Pelan Strategik UTM Ascend 2030 dibangunkan selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang diumumkan Perdana Menteri dengan aspirasi menjadikan UTM antara 100 universiti terbaik dunia menjelang 2030.
Katanya, UTM Ascend 2030 berteraskan empat teras Keunggulan Terbilang iaitu Lonjakan Kebitaraan; Bakat Global; Kemampanan dan Kelestarian serta Kemanusiaan dan Kesejahteraan.
“Pelan ini turut menetapkan 10 ‘Desired States’ merangkumi kedudukan global, keboleh pasaran graduan, kemampanan kewangan, pengurangan jejak karbon, serta pemerkasaan komuniti berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.
Mulai tahun ini ujarnya, UTM Ascend 2030 menjadi satu-satunya pelan strategik universiti dengan semua pusat bertanggungjawab melaksanakan pelan tindakan Ascend ini secara bersepadu.
“Perubahan struktural bukan lagi pilihan. Ia adalah tuntutan strategik untuk memastikan UTM bukan sekadar cemerlang dari segi pencapaian, tetapi kukuh dari segi makna, nilai dan impak kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu, Mohd Shafry turut menegaskan bahawa adab kekal sebagai asas terkuat UTM yang membentuk keseluruhan kerangka tindakan universiti merangkumi pengajaran, penyelidikan, pentadbiran dan perkhidmatan.
Menurutnya, bermula tahun ini, nilai adab dibingkaikan semula dalam kerangka Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian (ISES) bagi memastikan setiap keputusan universiti adalah berteraskan keadilan dan kebijaksanaan.
Pada masa sama, Mohd Shafry berkata, sepanjang pelaksanaan enVision UTM 2025, universiti itu mencatat pelbagai pencapaian utama termasuk kedudukan ke-153 dunia dalam QS ‘World University Rankings’ 2026 dan berada dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia.
“UTM menjana pendapatan sebanyak RM357 juta, serta 34 peratus graduan memperoleh pendapatan premium melebihi RM4,000 sebulan.
“UTM turut melahirkan alumni tersenarai dalam Forbes Asia 30 Under 30, mengukuhkan lagi peranan universiti dalam melahirkan teknokrat dan pemimpin global,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















