Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil. - Foto: JAKIM.

KUALA LUMPUR – Pembentukan jawatankuasa belia masjid perlu berasaskan kepada prinsip-prinsip utama yang kukuh iaitu kefahaman agama yang sahih, penghayatan nilai akhlak dan adab Islam serta keupayaan memahami realiti dan cabaran semasa masyarakat.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, belia masjid yang dibangunkan berasaskan prinsip berkenaan diyakini mampu berperanan secara matang dan berkesan dalam mengimarahkan masjid, selain menjadi penghubung yang harmoni antara institusi agama dan komuniti setempat.

“Sebagai badan berautoriti dan rujukan kepada pelbagai peringkat umur serta agensi, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menekankan kepentingan berinteraksi secara langsung dengan golongan belia khususnya mereka yang menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan jawatan kuasa belia di masjid demi memperkukuh peranan masjid sebagai pusat pembinaan generası dan kepimpinan ummah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan pula berkata, cadangan tersebut akan diteliti oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Mengulas lanjut Ahmad Fauwaz berkata, penglibatan belia dalam institusi masjid merupakan proses pembinaan kepimpinan jangka panjang yang memerlukan perancangan rapi, bimbingan berterusan dan hala tuju yang jelas.

Ia seiring dengan usaha memasjidkan remaja dan meremajakan masjid sebagai antara teras pembangunan ummah.

“Dalam tradisi Islam, masjid bukan sekadar tempat pelaksanaan ibadah ritual, bahkan berperanan sebagai institusi tarbiah, pendidikan, dakwah dan pengurusan masyarakat,” katanya lagi.

Menurut beliau, inisiatif terbaharu yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan adalah menubuhkan Kelab Mufti di dalam dan luar negara.

Kelab ini dijangka dapat membimbing belia dalam memahami hala tuju pendidikan, pembangunan sahsiah, membina kemahiran insaniah serta peranan sosial golongan itu.

“Ia adalah usaha murni agar belia mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat, selari dengan usaha Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam menyantuni semua segmen dan lapisan masyarakat khususnya golongan belia yang bakal menjadi pemegang tauliah di Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Justeru, tambahnya, mereka perlu dipastikan dibekalkan ilmu, akhlak dan kepimpinan yang mantap sebelum memikul amanah yang lebih besar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast