KOTA TINGGI – Kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang di sini sejak Jumaat lalu dijangka dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa tiga atau empat hari lagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Tinggi II, Ezam Mistorerrodin berkata, pihaknya akan menggunakan teknik pengeboman air menggunakan helikopter bermula pada petang ini atau pagi esok.
“Setakat pukul 12 tengah hari tadi sebanyak 28 peratus atau 76 ekar daripada 246 ekar kawasan kebakaran sudah berjaya dipadamkan. Kebakaran sekarang sudah terkawal cuma ada faktor angin sahaja.
“Sekarang ini kami cuba buat firebreak dan buat total flooding. Kemungkinan esok Insya-Allah helikopter akan buat pengeboman air,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di markas bomba di taman berkenaan, hari ini.
Beliau berkata, kekangan ketika ini adalah kerana kebakaran tersebut berlaku di tanah gambut yang menyimpan api dan bara di bawahnya sehingga sukar dipadamkan.
Jelasnya, sebelum ini kebakaran boleh dikawal tetapi disebabkan faktor cuaca dengan angin kencang malam tadi menyukarkan kerja-kerja pemadaman.
Katanya, waktu operasi memadam kebakaran akan diteruskan sehingga malam dan bilangan anggota yang bertugas masih kekal 26 orang.
Selain itu katanya, tidak semua penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan hanya mereka yang mengalami sesak nafas dipindahkan.
Sehingga pukul 4 petang ini seramai 150 penduduk daripada 49 keluarga dipindahkan ke dua PPS.- MalaysiaGazette
















