Promosi Fixed Fares sempena musim perayaan dilancar musim perayaan oleh Batuk Air.

KUALA LUMPUR – Batik Air tampil sebagai antara syarikat penerbangan utama yang membantu menstabilkan harga tiket penerbangan sempena musim perayaan menerusi pengenalan kempen tambang tetap serta penambahan penerbangan tambahan di laluan berpermintaan tinggi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, syarikat penerbangan itu turut menyediakan perkhidmatan penerbangan tidak berjadual bagi laluan Johor Bahru–Sibu sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Ini susulan peningkatan mendadak permintaan penumpang khususnya bagi perjalanan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, Sibu kekal sebagai destinasi tumpuan setiap kali musim perayaan kerana kedudukannya sebagai pintu masuk utama ke kawasan tengah Sarawak termasuk Sarikei yang mencatat antara permintaan tertinggi bagi musim ini.

“Bagi musim perayaan ini, laluan Johor Bahru ke Sibu mencatat permintaan paling tinggi. Justeru, Batik Air menambah beberapa penerbangan tambahan selama tiga hari walaupun ia bukan laluan berjadual biasa,” katanya baru-baru ini.

Selain penambahan penerbangan, Batik Air turut melancarkan kempen Fixed Fares for Your Reunion dengan menawarkan tambang tetap bagi laluan Kuala Lumpur–Kuching bermula RM318 sehala sempena Tahun Baharu Cina.

Bagi laluan Kuala Lumpur–Kota Kinabalu pula, tambang sehala ditawarkan bermula RM378 dengan tempoh tempahan dibuka sehingga 13 Februari 2026 dan perjalanan ditetapkan antara 13 hingga 16 Februari 2026.

Dalam masa sama, Batik Air turut menyediakan penerbangan tambahan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang pada 12 hingga 14 Februari 2026 serta Johor Bahru ke Sibu dari 13 hingga 15 Februari 2026 bagi menampung permintaan tinggi sepanjang musim perayaan.

Anthony berkata, inisiatif Batik Air itu melengkapi dasar kerajaan yang menetapkan harga maksimum tambang penerbangan pada RM499 sebelum cukai bagi laluan tertentu, khususnya dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

“Harga tiket yang mencecah RM580 atau RM600 sebelum ini sebenarnya termasuk cukai dan caj tambahan, manakala harga asas kekal dihadkan pada kadar maksimum RM499.

Sekiranya tiket dijual melebihi had itu, lebihan kos akan ditanggung kerajaan melalui skim subsidi yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu,” jelasnya.

Menurutnya, dasar intervensi yang dilaksanakan tiga hari sebelum musim perayaan itu terbukti berkesan apabila harga tiket penerbangan tidak lagi melonjak sehingga melebihi RM1,000 seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, kempen Fixed Fares for Your Reunion dan program Batik Student Fare diperkenalkan sebagai respons terhadap cabaran sebenar yang dihadapi penumpang ketika musim perayaan, termasuk ketidaktentuan harga dan kekangan tempat duduk.

Beliau berkata, program Batik Student Fare menawarkan manfaat komprehensif kepada pelajar termasuk potongan sehingga 30 peratus bagi tambang terpilih sepanjang tahun, elaun bagasi lebih tinggi, fleksibiliti perubahan tarikh penerbangan serta pelbagai kelebihan lain, selain terbuka kepada pelajar tempatan, antarabangsa, pensyarah dan komuniti kampus.

“Melangkah ke hadapan, Batik Air terus komited untuk memperluaskan rangkaian penerbangan, mengukuhkan kesalinghubungan serantau serta memastikan pertumbuhan yang mampan dan bertanggungjawab.

“Tahun 2026 bakal menjadi tahun penting dengan pelbagai laluan baharu dan kerjasama strategik bersama kerajaan demi manfaat rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast