Ab Rahaman Arsad

SEGAMAT – Tindakan pantas polis berjaya menggagalkan cubaan dua lelaki tempatan daripada melakukan kegiatan khianat dengan api di sebuah rumah apabila ditahan di Jalan Buloh Kasap di sini pada 14 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, tangkapan dibuat kira-kira 3 pagi apabila sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat mengesan mereka dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil siasatan awal dan pemeriksaan lanjut yang dijalankan bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Segamat membawa kepada penemuan serta rampasan pelbagai barangan, termasuk sebotol kaca berisi minyak petrol dipercayai bom Molotov serta sekeping kertas mengandungi ayat ugutan.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek tempatan berumur 25 dan 26 tahun itu sedang dalam perjalanan ke sebuah alamat di sekitar Buloh Kasap bagi melakukan perbuatan membaling Molotov ke atas rumah mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk melakukan perbuatan jenayah tersebut iaitu kereta Honda City, sebuah motosikal Yamaha Y15ZR, dua unit telefon bimbit, sebotol kaca berisi petrol, pemetik api, sarung kepala, beg hitam, nota ugutan, pakaian termasuk sweater hitam, topi keledar serta sehelai baju hujan.

Tambahnya, siasatan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam sembilan kes khianat dengan api di beberapa daerah di negeri ini iaitu tiga kes di Seri Alam, Batu Pahat (2), Muar (2), Iskandar Puteri (1) dan Johor Bahru Utara (1).

“Modus operandi sindiket ini adalah menerima arahan daripada sindiket along sebelum melaksanakan perbuatan khianat dengan api dan menerima bayaran antara SGD300 (RM934) hingga SGD400 (RM1,245) bagi setiap arahan,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek tersebut akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada pagi ini.

“Sebanyak lima pertuduhan akan dijalankan pada hari ini di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, manakala baki empat pertuduhan akan dijalankan secara berperingkat di Mahkamah Sesyen Batu Pahat dan Muar,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Polis Johor menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan ugutan, pemerasan serta jenayah kekerasan yang mengancam keselamatan awam.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa mengira status atau latar belakang individu yang terlibat,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast