KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini meluangkan masa bertemu pelajar autisme, Rajendrra Vharma bersama kedua ibu bapanya di Parlimen susulan penghargaan terbuka kanak-kanak itu terhadap dasar pendidikan percuma kerajaan untuk pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU).
Pertemuan itu menyusul selepas Vharma yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) tampil merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman pendidikan percuma yang disifatkannya sebagai ‘hadiah harapan’ kepada pelajar berkeperluan khas di negara ini.
Dalam pertemuan berkenaan, Vharma menyerahkan lukisan hasil karyanya bertemakan Bunga Raya kepada Perdana Menteri, lengkap dengan mesej ringkas ‘Thank You Prime Minister Sir’ sebagai tanda penghargaan atas inisiatif berkenaan.

Vharma sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas videonya merakamkan penghargaan kepada kerajaan tular di media sosial mencerminkan kesan langsung dasar pendidikan percuma terhadap keyakinan diri pelajar OKU dan keluarga mereka.
Menurutnya, inisiatif itu bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya satu pengiktirafan bahawa pelajar berkeperluan khas juga mempunyai tempat dan masa depan dalam sistem pendidikan negara.
Sementara itu, ibu Vharma, Rajesweri Paramsevam berkata, keluarga mereka terharu apabila penghargaan anaknya mendapat perhatian Perdana Menteri dan berharap dasar itu membuka lebih banyak peluang kepada kanak-kanak berkeperluan khas untuk meneruskan pengajian tanpa dibebani kos.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pendidikan percuma kepada kira-kira 3,000 pelajar OKU di institusi pengajian tinggi awam, politeknik dan kolej komuniti dan disambut baik pelbagai pihak sebagai usaha memperkukuh pendidikan inklusif dan peluang sama rata.
Pertemuan di Parlimen itu dilihat sebagai simbol komitmen kerajaan Madani dalam memastikan suara dan pengalaman pelajar berkeperluan khas terus diberi perhatian dalam pelaksanaan dasar pendidikan negara. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















