Seorang anggota bomba melecur semasa melakukan operasi memadam kebakaran di pusat pengumpulan sampah di Jalan Tuatau, Bandar Penawar, Pengerang, Kota Tinggi, semalam.

KOTA TINGGI – Seorang anggota bomba melecur di bahagian kaki semasa melakukan operasi memadam kebakaran di pusat pengumpulan sampah di Jalan Tuatau, Bandar Penawar di sini semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata, anggota terbabit yang berusia 20 tahun itu bagaimanapun berada dalam keadaan selamat dan stabil.

“Anggota terbabit mengalami cedera apabila kakinya terjerlus ke dalam kawasan kejadian yang terbakar ketika operasi pemadaman dilakukan.

“Anggota berkenaan diberikan rawatan segera sebelum dia dirawat sebagai pesakit luar sahaja,” katanya kepada pemberita di pusat kawalan bomba di Taman Bayu Damai, Pengerang di sini hari ini.

Beliau berkata, kebakaran melibatkan kawasan pusat pengumpulan sampah yang berlaku sejak Sabtu lalu itu yang berkeluasan 10 ekar telah berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.

Jelasnya, semua anggota ditugaskan melakukan operasi sehingga waktu malam bagi memadamkan kebakaran tersebut dan juga dua lagi kawasan lain.

“Alhamdulillah semalam kita dah berjaya padamkan sampai habis di Jalan Tuatau dan hari ini kita buat proses ‘overhaul’ di kawasan tersebut,” katanya lagi.

Tambahnya terdapat tiga kawasan di Pengerang yang terlibat dengan kebakaran iaitu di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai melibatkan keluasan 246 ekar, Kampung Lepau, 135 ekar dan juga Jalan Tuatau, Bandar Penawar.

Menurutnya, pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada kesemua kebakaran tersebut berpunca daripada pembakaran terbuka, unsur sabotaj disengajakan atau faktor lain seperti puntung rokok yang dibuang.

“Kita tidak boleh mengesahkan puncanya berlaku kebakaran namun, kebarangkalian itu tetap ada dalam keadaan cuaca yang kering dan berangin ketika ini, api boleh tercetus dengan mudah walaupun hanya daripada sumber kecil.

“Jika dibuat ujian sekali pun, puntung rokok yang dibuang dan terkena pada daun kering memang boleh menyebabkan kebakaran. Apatah lagi jika api itu sengaja dinyalakan, ia sememangnya boleh merebak dengan cepat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast