KOTA TINGGI – Operasi memadam kebakaran di tanah gambut di Taman Bayu Damai, Pengerang di sini sudah 80 peratus dipadamkan setakat tengah hari tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata, jumlah itu melibatkan 79.32 hektar kawasan kebakaran berjaya dipadamkan berbanding keseluruhan kebakaran membabitkan lebih 99 hektar.
“Setakat ini kebakaran itu berjaya dikawal dengan tompokan besar berjaya dipadamkan sepenuhnya, namun pihak bomba sedang memastikan tompokan-tompokan kecil kebakaran dapat dipadam sepenuhnya supayatidak merebak dan membesar semula.
“Selebihnya yang tinggal ini adalah asap-asal kecil yang mana lokasinya pecah-pecah, jadi kita sedang usahakan (padamkan). Helikopter masih lagi beroperasi buat water bombing untuk sektor yang kita tidak boleh capai di darat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Kawalan Bomba (PKB) Operasi Pemadaman Kebakaran Tanah Gambut di sini, hari ini.
Katanya, semalam sahaja, helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan 44 kali pengeboman air dalam tiga kali penerbangan.
Hari ini, ujarnya, dijangkakan boleh dibuat lebih lagi kerana pihak bomba sudah mulakan operasi dari pagi tadi.
“Hari ini kalau cuaca mengizinkan, kita mungkin dapat padamkan kebakaran sepenuhnya, cuma operasi tetap akan diteruskan untuk proses pemantauan dan overhaul sebab kita tak mahu jadi balik (kebakaran),” katanya.
Menurut beliau, operasi pemadaman hari ketujuh masih menggunakan teknik yang sama termasuk menggunakan keseluruhan khidmat anggota bomba dan agensi berkaitan.
“Kita deploy semua orang, supaya kita dapat cover secara menyeluruh. Hari ini ada satu lagi aset hidrosub yang kita guna untuk kita banjirkan lagi kawasan ini, terutamanya kawasan sektor tengah.
“Dari segi cuaca, nampak mendung. Kita harapkan hujan sebenarnya. Kita risau juga kalau panas dan berangin. Kalau terus mendung dan hujan, ia memang dapat membantu mempercepatkan pemadaman,” jelasnya.
Semalam, khidmat helikopter MI-17 milik Unit Udara JBPM yang berpusat di Subang Jaya, Selangor itu mula digunakan dalam operasi pemadaman kebakaran berkenaan.
Helikopter itu mampu membawa sebanyak 1,340 liter air bagi satu kali pengeboman sebelum air berkenaan digugurkan dari helikopter ke kawasan kebakaran yang sudah ditandakan.- MalaysiaGazette
















