GEORGE TOWN – Seorang juruteknologi makmal wanita mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri disyaki akibat kebocoran gas di Klinik Kesihatan Jalan Perak, Jelutong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9.10 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun yang merupakan kakitangan klinik dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pukul 9.13 pagi.
“Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak tiba di lokasi pada jam 9.27 pagi dengan bantuan BBP Lebuh Pantai serta BBP Bayan Baru yang mengendalikan pasukan HAZMAT.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan menjalankan penilaian awal (size up) bagi mengenal pasti punca kejadian yang dipercayai melibatkan kebocoran gas yang belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil pemantauan oleh pasukan HAZMAT mendapati tiada unsur kebocoran gas atau tumpahan bahan kimia di kawasan terlibat dengan bacaan kandungan oksigen di ruang berkenaan berada pada paras normal iaitu 21 peratus.
“Pasukan bomba turut membuka tingkap bagi tujuan pengudaraan (ventilation) untuk menstabilkan kandungan udara di ruang terlibat.
“Keadaan disahkan selamat dengan bacaan kandungan oksigen berada pada tahap normal dan operasi dikawal sepenuhnya jam 9.47 pagi sebelum ditamatkan pukul 11.06 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette
















