KLUANG – Seorang wanita terkejut apabila pulang ke rumahnya yang tinggalkanya Sabtu lalu di Taman Kluang Perdana di sini mendapati sudah dipecah masuk dari bumbung bahagian dapur.
Kejadian tersebut disedari wanita berusia 29 tahun itu semasa pulang ke rumahnya pukul 7 petang semalam selepas lima hari meninggalkan kediaman berkenaan.
Mangsa kemudian membuat laporan polis dan beberapa keping foto kejadian tersebut tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, wanita tersebut menyedari bumbung di bahagian terbuka dipercayai ditebuk.
“Pemeriksaan lanjut mendapati siling kapur di bilik pertama, bilik kedua serta ruang tamu rumah berkenaan terdapat kesan lubang yang disyaki ditebuk suspek.
“Mangsa memaklumkan rumah itu ditinggalkan dalam keadaan baik dan berkunci sejak 24 Januari lal dan kediaman berkenaan hanya dilengkapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian luar pagar,” katanya dalam satu kenyataan.
Bahrin memberitahu, pemeriksaan mendapati tiada kehilangan barang berharga dan kerugian hanya melibatkan kerosakan pada siling rumah.
Semakan rakaman CCTV di kawasan kejadian tidak menunjukkan sebarang pergerakan mencurigakan dan tiada saksi awam tampil, katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati rumah tersebut baru dibeli setahun lalu dan jarang didiami.
Malah ujarnya, mangsa mengakui hanya berada di rumah tersebut dua hari seminggu.
“Hasil rakaman CCTV juga tidak kelihatan pergerakan subjek atau aktiviti mencurigakan dan tiada saksi awam melihat kejadian. Oleh itu, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan suspek terlibat,” katanya.- MalaysiaGazette
















