KOTA TINGGI – Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan wang tunai secara ‘one off’ (sekali bayar) sebanyak RM300 kepada 81 nelayan yang terjejas pendapatan akibat pencemaran Sungai Johor di sini pada 31 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, keseluruhan bantuan berjumlah RM24,300 itu akan diserahkan kepada semua penerima menerusi Ahli Dewan Negeri Johor (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim.
“Kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib nelayan yang tidak dapat turun ke sungai akibat daripada pencemaran berkenaan.
“Justeru itu, bantuan secara ‘one off’ ini diharap dapat meringankan beban nelayan darat yang terkesan susulan insiden pencemaran sungai berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zahari berkata, beliau sudah membuat lawatan dan pertemuan bersama-sama jabatan berkaitan di Balai Raya Kampung Orang Asli Sayong Pinang di sini, semalam.
Kata beliau, tujuannya bagi mendapatkan laporan terkini status pencemaran Sungai Sayong di sini yang berubah warna kehitaman pada Ahad lalu.
“Setakat ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor memaklumkan bacaan kualiti air masih dalam keadaan selamat dan tiada laporan kematian ikan direkodkan. Punca pencemaran terbaharu ini masih dalam siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Zahari berkata kerajaan negeri turut mengambil langkah pemulihan ekosistem di sungai terlibat melalui program pelepasan benih anak ikan pelbagai spesis.
“Kita telah melepaskan hampir 100,000 ekor anak ikan pelbagai spesies seperti baung dan lampam di Sungai Linggiu yang terletak tiga hingga empat kilometer dari Sungai Sayong pada November lalu.
“Pelepasan tidak dibuat di sungai terjejas ketika itu kerana keadaan sungai masih belum pulih sepenuhnya. Kita merancang satu lagi pelepasan sekitar 100,000 hingga 200,000 ekor anak ikan pada Mac atau April ini selepas musim Monsun Timur Laut,” katanya.
Terdahulu portal ini melaporkan pencemaran Sungai Johor susulan kolam cucian pasir di sebuah kawasan perlombongan pasir darat di Kota Tinggi pecah, menyebabkan aliran lumpur memasuki hulu sungai berkenaan.
Pencemaran dengan bacaan kekeruhan air mentah tertinggi di sungai itu merekodkan bacaan 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU disifatkan paling buruk itu menjejaskan RM1.2 juta penduduk di daerah ini serta Johor Bahru, Pontian, Gelang Patah dan Kulai.- MalaysiaGazette
















