Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang mendakwa dirinya pegawai kanan polis ditahan selepas disyaki mencetuskan provokasi dan menghalang tugas penjawat awam dalam satu kejadian di hadapan pintu utama Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, dekat Gombak, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.48 pagi.

Menurutnya, insiden berkenaan berlaku sekitar pukul 5.30 pagi apabila suspek menghampiri kawasan gerai jualan di hadapan kuil tersebut.

“Suspek dipercayai bertindak merakam video pengadu, melemparkan tuduhan jenayah serta menggunakan kata-kata kesat yang mengaibkan sehingga mencetuskan kekecohan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, keadaan menjadi lebih tegang apabila suspek enggan memberikan kerjasama kepada anggota polis yang tiba untuk menenangkan keadaan, malah terus melakukan provokasi sehingga menggugat ketenteraman awam.

Susulan itu, suspek telah ditahan dan direman selama satu hari bermula.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186, 504 dan 509 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, melakukan provokasi serta mengeluarkan kata-kata yang menghina kehormatan individu.

Dalam pada itu, Noor Ariffin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga tatasusila ketika berada di tempat awam.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menimbulkan kekecohan atau menghalang tugas penjawat awam.

“Orang ramai juga diingatkan agar tidak menyalahgunakan identiti atau jawatan rasmi untuk kepentingan peribadi yang boleh menyalahi undang-undang,” tegasnya.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Prakash di talian 012-2940827 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-6126 2222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast