KUALA LUMPUR – Selain rayuan pembebasan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad pada Khamis, Mahkamah Persekutuan dijadual mengendalikan dua lagi rayuan berkepentingan awam di Putrajaya, Jumaat ini.
Pada tarikh itu, mahkamah tertinggi negara akan mendengar permohonan semakan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong untuk mengetepikan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan kerana merogol pembantu rumah warganegara Indonesia.
Hari yang sama, Mahkamah Persekutuan akan menentukan rayuan kerajaan berhubung perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang diputuskan tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Berkaitan kes Paul, bekas exco itu memohon menyemak keputusan panel berlainan pada 1 Oktober tahun lalu yang didakwa tidak adil daripada segi prosedur ketika mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu mahukan rayuannya didengar semula di hadapan panel berbeza.
Sebelum itu, panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berpuas hati, sabitan dan hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Rayuan, pada 2024 adalah munasabah dan selamat untuk dikekalkan.
Ujar Hakim Wan Ahmad Farid, hakim bicara telah menilai keterangan mangsa yang menyatakan dia diberi amaran oleh perayu (Paul) supaya tidak mendedahkan kejadian tersebut kepada isterinya.
Selain itu, panel tersebut berpendapat, mangsa menangis ketika menceritakan kejadian rogol tersebut kepada individu lain ketika dalam kereta sebelum dibawa membuat laporan polis.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak mendapati Paul, 55, bersalah merogol pembantu rumah ketika itu berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh antara pukul 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Sementara itu, Jumaat ini, Mahkamah Persekutuan akan memutuskan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ dalam Seksyen 233, tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Keputusan akan disampaikan oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara yang turut bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, Datuk Mohd. Nazlan Mohd Ghazali serta Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan kedua-dua perkataan dalam seksyen berkenaan, sebagai tidak berperlembagaan dan membatalkannya selepas membenarkan rayuan aktivis, Heidy Quah.
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya pada 2023.
Wanita itu mempertikaikan penggunaan istilah berkenaan yang didakwanya bercanggah dengan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada Julai 2021, Heidy, 31, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat kenyataan menyinggung perasaan menerusi satu hantaran di Facebook dan pada 2022.
Wanita itu dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas mahkamah mendapati pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) adalah cacat. – MalaysiaGazette















