KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP), Sathiah Sudakaran tampil menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Lim Teong Kim bagi menangani krisis tadbir urus yang semakin meruncing dalam bola sepak Malaysia.
Menurut Sathiah, kepercayaan awam terhadap pengurusan bola sepak negara kini berada pada tahap paling rendah akibat salah urus berpanjangan, konflik dalaman serta kekurangan ketelusan.
“Ketika bola sepak Malaysia tenggelam dalam krisis tadbir urus yang paling serius, gesaan Teong Kim agar kepimpinan yang mempunyai wibawa dan autoriti moral diberi pertimbangan serius adalah tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, bola sepak merupakan kuasa penyatuan rakyat pelbagai latar belakang dan memerlukan kepimpinan yang melangkaui politik, kepentingan peribadi serta perpecahan dalaman.
“Untuk mengembalikan maruah dan masa depan bola sepak, kita memerlukan kepimpinan yang mengutamakan permainan, pemain dan penyokong,” ujarnya.
Beliau turut memuji keberanian Teong Kim menyuarakan penyelesaian konstruktif ketika ramai memilih berdiam diri.
“Cadangan ini wajar dilihat sebagai peluang untuk reset bola sepak Malaysia berasaskan tadbir urus baik, akauntabiliti dan profesionalisme.
“Masanya untuk tindakan tegas adalah sekarang. Bola sepak Malaysia berhak mendapat kepimpinan yang menginspirasikan kepercayaan dan membawa reformasi berkekalan,” tegasnya. -MalaysiaGazette















