MFL

KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menggesa semua kelab supaya memantau dan mengawal tingkah laku penyokong masing-masing bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap ketenteraman awam serta keselamatan.

MFL, dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan bahawa pihaknya menolak sekeras-kerasnya sebarang unsur negatif dan tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh segelintir penyokong bola sepak tempatan.

Menurut MFL, sikap dan perlakuan sedemikian bukan sahaja mencetuskan gangguan terhadap ketenteraman dan keselamatan awam, malah mampu mencemarkan imej bola sepak tempatan yang seharusnya menjadi platform penyatuan serta memupuk semangat kesukanan.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan sekumpulan penyokong Selangor FC berarak sambil membawa bendera pasukan dari arah bandar raya menuju ke Jambatan Angkat, Kuala Terengganu, sebelum menyalakan suar ketika berada di tengah jambatan berkenaan.

Susulan kejadian itu, seramai 33 penyokong Selangor FC direman hari ini bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang dicetuskan.

Insiden berlaku sebelum perlawanan Selangor FC menentang Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast