KUALA LUMPUR – Nilai dagangan besar antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang mencecah RM233 bilion tahun lalu menjadi antara faktor utama kerajaan memilih untuk berunding menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jumlah itu mencerminkan kepentingan strategik hubungan perdagangan kedua-dua negara, sekali gus menuntut pendekatan berhati-hati dalam menghadapi kenaikan tarif oleh AS.
Menurutnya, peningkatan kadar tarif berpotensi menjejaskan ekonomi negara, khususnya sektor elektrik dan elektronik, semikonduktor serta produk berkaitan kesihatan.
“Bagi sesetengah negara seperti Myanmar dan Laos, isu tarif tidak begitu besar kerana eksport mereka ke AS kecil. Tetapi bagi kita, tahun lalu sahaja RM233 bilion. Untuk bina jumlah itu bukan mudah.
“Kalau kita tidak berunding, negara lain akan mendahului, dapat kadar 19 peratus. Tidak mustahil Malaysia pula dikenakan sehingga 40 peratus.
“Ketika itu, kita sudah tidak lagi kompetitif, jika kadar tarif melonjak, industri utama akan terjejas secara langsung,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
Tambahnya, jika kadar tarif melonjak, industri utama akan terjejas secara langsung.
“Sektor E&E dan semikonduktor mungkin tidak lagi mampu beroperasi di Malaysia jika dikenakan 40 peratus berbanding 19 peratus sekarang. Negara lain pula boleh alihkan pengeluaran ke lokasi dengan tarif lebih rendah.
“Sebab itu isu ini perlu dijaga kerana sebahagian besar eksport kita adalah ke AS,” ujarnya.
Johari menegaskan, kerajaan meletakkan syarat jelas dalam rundingan ART supaya ia tidak menyentuh soal kedaulatan negara.
“Kita teliti setiap perkara yang dipersetujui. Selagi ia tidak melibatkan kedaulatan dan bersifat ekonomi, ia boleh dirundingkan,” ujarnya.
Beliau berkata, sebarang kadar yang dimeterai dalam perjanjian tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.
“Kalau cukai jualan, kita boleh tetapkan lima atau 10 peratus. Tetapi bila sudah dimasukkan dalam perjanjian, ia menjadi komitmen dan tidak boleh diubah,” katanya. -MalaysiaGazette















