Lebuh Raya
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara meningkat sehingga 3.27 juta kenderaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dengan hari puncak dijangka berlaku pada Selasa dan Rabu depan.

LLM dalam kenyataan hari ini memberitahu, peningkatan trafik dijangka bermula seawal Jumaat khususnya melibatkan pergerakan kenderaan ke arah utara, selatan dan Pantai Timur.

Berdasarkan unjuran, lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS mencatatkan anggaran trafik tertinggi dengan 2.2 juta kenderaan, diikuti Lebuhraya KL-Karak (210,000 kenderaan), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) (90,000), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) (40,000) serta Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE)(160,000).

Bagi lebuh raya sambungan pula, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) diunjurkan menerima 275,000 kenderaan, diikuti Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dengan 145,000 kenderaan dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) sebanyak 150,000 kenderaan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3.27 juta kenderaan.

LLM memaklumkan, semua syarikat konsesi lebuh raya telah diarahkan membuat persediaan rapi bagi memastikan perjalanan pengguna lebuh raya berjalan selamat dan lancar sepanjang tempoh perayaan.

“Antara langkah yang diambil termasuk memastikan tiada penutupan lorong kecuali bagi kerja kecemasan bermula 12 hingga 23 Februari, selain pengaktifan lorong pintar di 32 lokasi yang dikenal pasti di Lebuhraya PLUS,” menurut kenyataan itu.

LLM turut memaklumkan, sistem kutipan tol akan dipastikan berfungsi dengan baik, termasuk pelaksanaan kutipan tol berlapis di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mengalami trafik tinggi.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk aplikasi TuJu Highway Navigation App LLM serta maklumat travel time advisory bagi Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

Maklumat trafik semasa dan sebarang insiden boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi LLM di X dan TikTok atau dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast