GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengkaji cadangan mewajibkan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai syarat lesen dan permit penjaja bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial golongan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, cadangan itu dilihat wajar kerana caruman berkenaan memberi perlindungan penting kepada penjaja dan pekerja sendiri sekiranya berlaku musibah.
Menurutnya, langkah itu bukan untuk membebankan penjaja, sebaliknya bagi memastikan mereka mendapat perlindungan sosial pada kos caruman yang rendah.
“Saya percaya program di bawah lindungan ini memang akan memberi banyak dari segi bantuan, kebajikan kepada penjaja di negeri ini.
“Kita faham kalau nak panggil penjaja untuk beli insurans dengan pihak swasta, mungkin dia akan rasa ia sesuatu yang membebankan, jadi dengan adanya program di bawah Perkeso ini dengan caj cukup minimal, dapat memberi kawal perlindungan kepada penjaja.
“Kita bukan nak bazirkan duit penjaja, tetapi ini adalah satu caruman untuk perlindungan mereka jadi kita akan kaji untuk wajibkan caruman Lindung Kendiri dalam syarat lesen penjaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perkeso dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial khususnya dalam sektor penjaja dan peniaga kecil di negeri ini.
Terdahulu MBPP memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perkeso bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial khususnya dalam sektor penjaja dan peniaga kecil di Wisma Perkeso di sini, hari ini.
Majlis pemeteraian MoU itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed mewakili Perkeso dan Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. Rajendran P. Anthony dengan disaksikan Mooi Lye, serta Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, Azirruan Arifin.
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, kedua-dua pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang iaitu MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sudah terlibat dalam pelaksanaan program berkenaan, sekali gus menjadikan Pulau Pinang negeri pertama melaksanakan kerjasama seumpama itu.
“Perbincangan yang pertama telah dilakukan pada 2024 dengan PERKESO untuk memberikan taklimat kepada kedua-dua PBT terkait dengan program ini.
“Susulan itu MBSP dan juga MBPP, kaji peraturan-peraturan yang sedia ada sebelum MoU dimenteraikan hari ini bagi memberi manfaat kepada penjaja, peniaga kecil di Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette















