JOHOR BAHRU – Penyertaan wanita dalam jawatan kepimpinan dan proses membuat keputusan sehingga hari ini, masih belum mencapai tahap yang setara dengan lelaki.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, statistik dan realiti di lapangan menunjukkan ramai pemimpin wanita yang berkebolehan, berpengalaman dan berwibawa untuk diketengahkan.
Namun dakwa beliau, golongan wanita masih berdepan kekangan daripada segi peluang, pendedahan, sokongan institusi serta kepercayaan untuk diketengahkan dalam jawatan strategik.
“Keadaan ini bukan sahaja merugikan wanita, malah menafikan potensi sebenar negara dalam membangunkan dasar yang lebih seimbang dan berkesan.
“Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan keadilan, integriti dan tadbir urus yang baik, Pejuang Johor percaya kepimpinan responsif gender merupakan asas penting kepada pembentukan dasar awam yang lebih menyeluruh dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat.
“Perspektif wanita dalam kepimpinan mampu memperkayakan proses pembuatan keputusan melalui pendekatan yang lebih inklusif, empatik dan berorientasikan penyelesaian jangka panjang khususnya dalam isu kebajikan keluarga, pendidikan, kesihatan, keselamatan sosial dan pembangunan komuniti,” katanya dalam kenyataan.
Suraya berkata, wanita tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pelengkap kepada struktur kepimpinan sedia ada, sebaliknya sebagai rakan setara yang mampu memimpin, membuat keputusan dan menentukan hala tuju organisasi serta negara.
Katanya, memberi peluang kepada pemimpin wanita untuk menonjol dan memimpin setaraf dengan pemimpin lelaki bukan bermaksud menafikan peranan mana-mana pihak, sebaliknya memperkukuh kepimpinan negara melalui kepelbagaian pandangan, pengalaman serta kekuatan.
Negara yang benar-benar maju ialah negara yang mengangkat kepimpinan berdasarkan keupayaan, integriti dan merit, bukan berdasarkan jantina semata-mata, tambahnya.
Sehubungan itu, Pejuang Johor menyeru semua pihak termasuk parti-parti politik, institusi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil agar bersama-sama memainkan peranan proaktif dalam membuka lebih banyak ruang, sokongan dan peluang kepada wanita untuk memimpin.
Jelasnya, ini termasuk usaha membangunkan bakat kepimpinan wanita, menyediakan ekosistem sokongan yang kondusif serta memastikan dasar dan amalan organisasi tidak bersifat mendiskriminasi secara langsung atau tidak langsung.
Pejuang Johor yakin bahawa wanita mampu membentuk negara melalui keterangkuman, pengaruh dan impak yang berpanjangan.
Ujarnya, pemerkasaan wanita dalam kepimpinan bukan sahaja akan meningkatkan kualiti tadbir urus negara, malah menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan rakyat serta pembinaan masa depan Malaysia yang lebih adil, progresif dan berdaya tahan.
Pejuang Johor menegaskan bahawa pemerkasaan wanita melalui kepimpinan responsif gender bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan mendesak dalam usaha membina masa depan negara yang adil, inklusif dan berdaya tahan.
“Dalam landskap sosial, ekonomi dan politik yang semakin mencabar, negara memerlukan kepimpinan yang memahami realiti kehidupan rakyat secara menyeluruh, termasuk keperluan dan pengalaman wanita yang membentuk separuh daripada populasi negara.
“Wanita merupakan aset penting negara dan memainkan peranan besar dalam membentuk hala tuju Malaysia melalui keterangkuman dalam kepimpinan, pengaruh dalam proses pembuatan dasar serta impak langsung terhadap pembangunan sosial, ekonomi dan politik,” katanya
Sumbangan wanita bukan sahaja tertumpu dalam institusi keluarga dan masyarakat katanya, malah terbukti signifikan dalam sektor profesional, pentadbiran awam, pendidikan, kesihatan, keusahawanan serta gerakan masyarakat sivil.
Justeru katanya, struktur kepimpinan negara wajar mencerminkan realiti itu dengan memberi ruang dan peluang yang adil serta bermakna kepada wanita untuk tampil sebagai pemimpin utama di semua peringkat. – MalaysiaGazette
















