KUALA LUMPUR – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menetapkan hala tuju lebih agresif pada tahun ini dengan memberi penekanan kepada penskalaan usahawan mikro ke tahap perusahaan kecil yang lebih mampan dan berdaya saing.
Tumpuan itu bukan sahaja bagi meningkatkan kapasiti perniagaan, malah memastikan pertumbuhan yang stabil serta mampu mencipta peluang pekerjaan baharu bergaji minimum.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni, berkata pihaknya turut mempergiat pemerkasaan sektor ketiga termasuk keusahawanan sosial dan perusahaan berasaskan komuniti sebagai pemacu ekonomi setempat yang lebih inklusif.
Bagi menyokong agenda tersebut, INSKEN akan memperkenalkan program baharu seperti Bangkit dan INSKEN Masterclass, di samping memperkukuh skop program keusahawanan merangkumi Perniagaan Keluarga, Halal, High Growth High Value (HGHV), TVET, Akses Pasaran dan Keusahawanan Sosial.
Dalam sesi itu, INSKEN turut berkongsi pencapaian sepanjang 2025 yang menyaksikan seramai 20,196 usahawan dilatih dan dibimbing menerusi 321 program, dengan jumlah jualan direkodkan sebanyak RM22.4 juta serta 710 peluang pekerjaan baharu diwujudkan.

Beliau berkata demikian pada sesi INSKEN Media Hi-Tea yang diadakan di ibu negara, semalam, sebagai platform memperkukuh hubungan dua hala antara agensi itu dan pengamal media.
Menurut beliau, media dilihat sebagai rakan strategik dalam memperluas capaian maklumat berkaitan inisiatif pembangunan keusahawanan kepada usahawan serta komuniti setempat.
Jelasnya, penyampaian yang jelas dan berfakta mampu membantu masyarakat memahami peranan INSKEN sebagai pemudah cara yang menghubungkan usahawan dengan industri serta ekosistem sokongan perniagaan negara.
Media Hi-Tea berkenaan diadakan di Chef Kecik Boulangerie Tuah 1895, Bukit Bintang, iaitu restoran milik alumni program INSKEN dan penerima Anugerah Usahawan MADANI 2025 (AUMI) bagi kategori Anugerah Harapan.
Pemilihan lokasi tersebut mencerminkan kisah kejayaan alumni yang berdaya tahan serta menjadi inspirasi kepada usahawan lain. – MalaysiaGazette















