KUALA LUMPUR – Kadar Zakat Fitrah bagi Wilayah Persekutuan tahun ini telah ditetapkan antara RM8 hingga RM25 mengikut jenis beras yang menjadi makanan harian, selepas dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kadar RM8 ditetapkan bagi mereka yang menjadikan beras tempatan dengan lima peratus kandungan beras hancur sebagai makanan harian.
Manakala kadar RM15 pula dikenakan kepada pembayar zakat yang menjadikan beras super import sebagai makanan harian, dan RM25 ditetapkan bagi mereka yang menggunakan beras basmathi dan seumpamanya.
“Penetapan kadar ini mengambil kira jenis beras yang menjadi makanan ruji pembayar zakat selaras dengan ketetapan hukum syarak,” katanya ketika mengumumkan perkara itu hari ini semasa berucap merasmikan Persidangan Pengurusan dan Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan Masjid dan Surau serta Penyampaian Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan, di Masjid Wilayah Persekutan di sini.
Beliau turut memaklumkan, zakat fitrah boleh ditunaikan melalui amil-amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang akan membuka kaunter kutipan di pelbagai lokasi sekitar Wilayah Persekutuan.
Bagi melancarkan urusan kutipan, seramai 77 Ketua Penolong Amil dan 869 Penolong Amil telah dilantik bagi memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan zakat fitrah.
Dalam pada itu, Dr. Zulkifli merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pembayar-pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang terus menunaikan zakat melalui MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP.
“Tanpa komitmen para pembayar zakat, sudah tentu pelaksanaan program bantuan kepada masjid, surau Jumaat dan surau tidak dapat dilaksanakan secara optimum, maksimum dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berharap segala usaha dan sumbangan tersebut akan dibalas dengan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. — MalaysiaGazette
















