KUALA LUMPUR – Lima kontena mengandungi hasil ikan dan haiwan lain nilai keseluruhan lebih RM1.85 juta yang cuba dibawa masuk tanpa permit import sah disita daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dalam dua operasi berasingan di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4, Pelabuhan Klang Barat, semalam.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam operasi pertama yang dijalankan antara pukul 11.30 pagi hingga 1 tengahari, pihaknya menyita satu kontena mengandungi hasilan ikan jenis tuna dalam tin yang diimport dari Vietnam.

Katanya, rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM219,420.88 dengan berat keseluruhan sebanyak 15,360 kilogram.
“Operasi kedua yang dilaksanakan pada hari sama antara pukul 3 petang hingga 5 petang pula melibatkan sitaan empat kontena mengandungi hasilan haiwan jenis susu tepung penuh yang diimport dari New Zealand.
“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM1,633,872.43 dengan anggaran berat 100,800 kilogram.
“Secara keseluruhan, kedua-dua operasi berkenaan melibatkan rampasan seberat 116,160 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan mendapati kesemua dagangan tersebut cuba dibawa masuk tanpa permit import MAQIS yang sah.

Beliau menjelaskan, sitaan dibuat sebagai langkah pencegahan bagi mengawal risiko kemasukan penyakit haiwan selain memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam negara terus terpelihara.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] atas kesalahan mengimport tanpa permit import MAQIS yang sah,” ujarnya.
Nik Ezanee menegaskan, pihaknya komited memperkukuh kawalan sempadan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa demi menjamin keselamatan, kesejahteraan dan kedaulatan negara. – MalaysiaGazette
















