Mohd Asna Amin

SEREMBAN – Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mohd Asna Amin tampil mempelawa Datuk Seri Hamzah Zainudin serta semua bekas pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk kembali menyertai UMNO demi memperkukuh penyatuan orang Melayu.

Mohd Asna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkata, jemputan itu bukan ditujukan kepada Hamzah semata-mata.

Sebaliknya juga terbuka kepada mana-mana bekas ahli UMNO dan kepimpinan Bersatu yang mahu kembali berjuang di bawah satu wadah politik yang sama.

Menurutnya, UMNO merupakan ‘Rumah Bangsa’ yang paling sesuai dan senada dengan perjuangan memartabatkan Islam, bangsa dan tanah air, selain menjadi platform menyatukan kembali orang Melayu.

Katanya lagi, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah menyatakan kesediaan menerima semula bekas ahli serta mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin kembali.

“Ini kerana UMNO kekal sebagai wadah memperjuangkan kepentingan Melayu dan membina kekuatan politik yang stabil.

“UMNO sejak dahulu berperanan menegakkan syiar Islam, membela nasib anak bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara, justeru kepulangan tokoh-tokoh lama akan menambah kekuatan suara kepimpinan Melayu dalam memperjuangkan agenda Melayu-Islam,” tulisnya dalam Facebook beliau pagi ini.

Tambah beliau, pelbagai inisiatif dilaksanakan ketika UMNO berada dalam Kerajaan Madani sebagai bukti komitmen memperkasa pendidikan, ekonomi dan pembangunan bumiputera, termasuk pemerkasaan pendidikan tahfiz, TVET serta program pembangunan luar bandar.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghentikan perpecahan politik sesama Melayu dan melupakan sengketa lama demi kekuatan bersama.

Semalam, Hamzah dalam program `Reset Politik’ selepas dipecat daripada parti itu memberi bayangan mengenai kemungkinan pembentukan sebuah ‘rumah baharu’ selepas ini.

Bagaimanapun, kata Hamzah, istilah rumah baharu itu tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti baharu sebaliknya mungkin menyertai parti lama sama ada mengambil alih parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), kembali menganggotai UMNO ataupun menyertai Pas.

Sebelum ini, Zahid Hamidi berkata, parti itu sentiasa bersikap terbuka untuk menerima semula mana-mana individu kembali menyertai parti itu termasuk Hamzah sekiranya dipecat daripada Bersatu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

UMNO tak wajar terima semula Hamzah – Syauqi

Saya akan ada ‘rumah baharu’ – Hamzah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast