BALIK PULAU – Kementerian Kewangan (MOF) bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan analisa bagi memastikan pengukuhan nilai ringgit memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutamanya melalui harga barangan import.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia susulan ringgit meningkat kira-kira 14 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat sejak awal tahun lalu dan sekitar 6.5 hingga 7 peratus berbanding mata wang utama lain.
“Alhamdulillah itu (ringgit kukuh) bagus untuk barang-barang import yang datang ke Malaysia kerana harga barangan akan jadi lebih baik untuk diimport.
“Isu kita sekarang ialah untuk memastikan bila pengimport bawa masuk barang, mereka juga melalui kos lebih rendah itu kepada rakyat dan ini satu perkara kita masih menganalisa dan bekerjasama dengan KPDN.
“Jadi kita akan pantaulah untuk memastikan kalau ada peluang untuk mengurangkan harga barang-barang import kita akan juga melihat bagaimana caranya untuk menggalakkan penurunan harga
“Bagaimanapun, tidak semua harga barangan akan turun kerana kos telah meningkat beberapa tahun lalu, justeru keseimbangan antara struktur kos sedia ada dan keadaan semasa pasaran perlu dicapai,” katanya ketika ditemui pada sesi turun Kampung Angkat Madani di Pulau Betong di sini hari ini.
Mengulas prestasi ekonomi semasa, Amir Hamzah berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan penjelasan Bank Negara Malaysia menunjukkan ekonomi negara berada pada kedudukan kukuh, dengan pertumbuhan KDNK sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat dan 5.2 peratus bagi keseluruhan tahun lalu, antara tertinggi di ASEAN.
Katanya, pengukuhan ringgit juga memberi kesan kepada kemampuan rakyat berbelanja di luar negara, termasuk meningkatkan peluang melancong ke negara serantau seperti Thailand dan Indonesia.
“Prestasi ini mencerminkan keberkesanan usaha kerajaan dalam pembaharuan ekonomi menyeluruh, termasuk perlindungan sosial dan intervensi bersasar, bagi memastikan limpahan pertumbuhan dirasai rakyat pelbagai lapisan.
“Pengukuhan ringgit dan ekonomi yang lebih baik memberi keyakinan kepada rakyat dari segi perbelanjaan dan mobiliti, selain menarik pelaburan berkualiti,” katanya. – MalaysiaGazette















