Muammar Qaddafi Mohd Nasir.

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyangkal dakwaan kononnya parti itu takut untuk menampilkan kepimpinan baharu apabila memilih menangguhkan pemilihan parti yang dijadual tahun ini.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pemuda Amanah Nasional, Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, tafsiran itu adalah tidak tepat dan tidak mengambilkira realiti sebenar pengurusan organisasi politik menjelang pilihan raya umum (PRU).

Menurut beliau, perubahan kepimpinan bukan hanya tentang menukar sosok pemimpin sebaliknya turut melibatkan kestabilan dalaman, penyelarasan jentera, keseimbangan kepimpinan dan kesiapsiagaan menghadapi medan PRU.

Apatah lagi sejarah politik tanah air turut menunjukkan  pemilihan dalaman menjelang pilihan raya sering membawa kesan sampingan yang tidak kecil.

“Parti seperti PKR dan DAP telah melalui pemilihan baru-baru ini. Dari sudut demokrasi dalaman, ia suatu proses yang wajar dihormati.

“Namun realitinya, PKR masih menanggung kesan perpecahan pemilihan lepas pada hari ini,” katanya.

Tambah beliau, situasi itu membuktikan pemilihan dalaman mempunyai kos politik tersendiri khususnya ketika parti sedang bersiap menghadapi pilihan raya.

Ujarnya, PKR sebuah parti lama yang stabil, mungkin dapat berdepan situasi perpecahan, namun untuk parti baharu seperti Amanah, banyak perkara yang harus dipertimbangkan.

“Justeru, pendekatan Amanah yang berhati-hati dalam mengurus peralihan kepimpinan adalah langkah konsolidasi dan pengurusan risiko politik,” katanya.

Sementara itu, beliau menambah, Amanah tidak pernah menutup ruang kepada generasi baharu malah ramai pimpinan pelapis telah diberi tanggungjawab di pelbagai peringkat parti dan pentadbiran.

Ujarnya, sekiranya ada cadangan memperluas peranan tokoh-tokoh muda, perkara tersebut boleh dan sedang dipertimbangkan melalui mekanisme parti yang ada.

“Peralihan kepimpinan adalah satu proses yang pasti berlaku.

“Namun ia mesti dilaksanakan secara terancang, berfasa dan melalui konsensus, bukannya dalam suasana tergesa-gesa yang berpotensi mencetuskan pergeseran dalaman,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast