Dua lot rumah dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Xpander hampir musnah dalam kebakaran di Jalan Merbau 3, Kampung Melayu Ampang, Ampang, Selangor, pagi tadi.

AMPANG – Seorang penduduk terpaksa berputih mata apabila dua rumah lot miliknya hampir musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Merbau 3, Kampung Melayu Ampang di sini pagi tadi.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 9.47 pagi.

“Kemudian sepasukan 15 anggota dan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dan Pandan Indah digerakkan dan tiba ke lokasi kejadian pukul 9.51 pagi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran melibatkan dua rumah lot di Jalan Merbau 3, Kampung Melayu Ampang, Ampang, Selangor, pagi tadi.

Menurut Mukhlis, setibanya di lokasi kejadian, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Ahmad Zakri Sharif mendapati sebuah rumah lot bangunan kelas B berkeluasan 1,800 kaki persegi terbakar 90 peratus.

“Kebakaran sama turut melibatkan rumah kedua yang merupakan pemilik rumah yang sama yang berkeluasan 1,200 kaki persegi terbakar 50 peratus.

“Kebakaran telah berjaya dikawal dan kerja kerja pemadaman sedang dilakukan,” katanya.

Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Xpander hampir musnah dalam kebakaran di Jalan Merbau 3, Kampung Melayu Ampang, Ampang, Selangor, pagi tadi.

Selain itu, kata Mukhlis, pemilik rumah berkenaan juga alami kerugian ribuan ringgit selepas dua kenderaan miliknya turut terjejas dalam kebakaran sama.

“Kebakaran juga melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Xpander yang terbakar 60 peratus manakala sebuah kereta Hyundai terbakar 10 peratus.

Sebuah kereta Hyundai hampir musnah dalam kebakaran di Jalan Merbau 3, Kampung Melayu Ampang, Ampang, Selangor, pagi tadi.

“Kebakaran tidak melibatkan mangsa. Kerja kerja overhaul sedang dilakukan di lokasi kebakaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast