Yoon Suk-yeol

SEOUL – Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dipenjara seumur hidup selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan merancang pemberontakan, susulan percubaannya menguatkuasakan undang-undang tentera pada Disember 2024.

Manakala bekas Menteri Pertahanan, Kim Yong-hyun, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun atas peranannya dalam krisis tersebut.

Pihak pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman mati ke atas Yoon.

Kes ini adalah paling berprofil tinggi setakat ini selepas Yoon mencetuskan krisis politik nasional dan menguji ketahanan demokrasi negara.

Pada Januari lalu, pendakwa raya berhujah bahawa “undang-undang tentera kecemasan yang tidak berperlembagaan dan menyalahi undang-undang” diisytiharkan Yoon telah melemahkan fungsi Perhimpunan Kebangsaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya, malah memusnahkan susunan perlembagaan demokrasi liberal.

Di bawah undang-undang Korea Selatan, kesalahan merancang pemberontakan membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Korea Selatan kali terakhir menjatuhkan hukuman mati pada 2016, namun tidak melaksanakan hukuman mati sejak 1997.

Kawalan keselamatan ketat dikerahkan di Mahkamah Daerah Pusat Seoul, dengan bas polis membentuk kepungan keselamatan di sekitar bangunan mahkamah.

Mahkamah turut meneliti pertuduhan bahawa Yoon menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan tentera menyerbu Parlimen untuk mengheret keluar dan memenjarakan lawan politiknya, selain mengerahkan anggota tentera dan polis bagi menghalang, memeriksa serta mengawal akses ke beberapa kemudahan termasuk bangunan parti pembangkang.

Yoon, 65, menafikan semua pertuduhan.

Bekas pendakwa raya kanan berhaluan konservatif itu berhujah, beliau mempunyai kuasa presiden untuk mengisytiharkan undang-undang tentera dan tindakannya bertujuan memberi amaran terhadap halangan berterusan oleh parti pembangkang terhadap pentadbiran kerajaan.

Yoon kini ditahan di Pusat Tahanan Seoul, dijangka kekal di situ tanpa mengira keputusan mahkamah.

Beliau dijangka memfailkan rayuan, dan berpeluang mencabar keputusan mahkamah rayuan di Mahkamah Agung.

Yoon, yang berdepan lapan prosiding perbicaraan, telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Januari dalam perbicaraan berasingan atas pertuduhan termasuk menghalang usaha pihak berkuasa untuk menahannya selepas pengisytiharan undang-undang tentera.

Beliau telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Walaupun percubaan Yoon menguatkuasakan undang-undang tentera hanya bertahan sekitar enam jam sebelum dibantah melalui protes besar-besaran dan ditolak oleh Parlimen, tindakan itu mencetuskan kejutan besar di seluruh Korea Selatan kerana selama ini dianggap antara negara demokrasi paling berdaya tahan di dunia. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast