Gambar hiasan

Oleh Abduh Wagiman

Islam bukan sekadar agama ritual, tetapi agama rahmat. Ia hadir membawa sinar keamanan, kesejahteraan dan keadilan, bukan hanya kepada penganutnya, tetapi kepada seluruh manusia dan alam.

Konsep Rahmatan lil ‘Alamin yang menjadi teras risalah Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa Islam merentasi sempadan bangsa, bahasa, geografi dan status sosial.

Islam bukan milik eksklusif sesuatu etnik, bukan juga simbol politik mana-mana kelompok. Ia adalah The Way of Life, iaitu cara hidup yang syumul untuk mengangkat martabat insan dan menegakkan keseimbangan dunia.

Dalam kerangka inilah, kita perlu melihat fenomena masyarakat bukan Islam yang menggunakan istilah seperti “Alhamdulillah” atau “Insya-Allah”. Penggunaan kalimah tersebut tidak wajar dilihat sebagai pencerobohan akidah atau ancaman terhadap kesucian Islam.

Sebaliknya, ia boleh difahami sebagai satu bentuk apresiasi budaya dan pengiktirafan terhadap nilai ketuhanan yang bersifat sejagat. Bahasa Arab bukan milik eksklusif umat Islam, dan kalimah syukur bukan hak eksklusif satu komuniti. Syukur adalah fitrah manusia apatah dalam dalam konteks dunia Melayu nusantara  yang luas ini.

Lebih jauh daripada itu, Islam dengan sifat keterbukaannya tidak pernah menghalang mana-mana insan untuk merasai keindahan nilai dan amalan yang terkandung di dalamnya, selagi tidak melangkaui batas syariat. Misalnya dalam ibadah berpuasa. Apabila seorang bukan Muslim memilih untuk menahan lapar dan dahaga, walaupun bukan sebagai ibadah yang sah menurut hukum, pengalaman itu tetap mengajar disiplin diri, empati terhadap golongan miskin dan ketenangan rohani. Ia perlu dilihat sebagai jambatan awal untuk memahami makna spiritual yang lebih mendalam.

Amalan sebagai jambatan: benih hidayah dalam kebaikan

Islam tidak datang untuk memadamkan kebaikan yang sedia ada dalam diri manusia. Sebaliknya, ia datang untuk menyempurnakan dan menyinari kebaikan itu dengan cahaya iman. Dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda kepada Hakim bin Hizam RA yang bertanya tentang amalan baiknya ketika zaman Jahiliyah:

“Engkau memeluk Islam bersama-sama dengan kebaikan yang telah engkau lakukan dahulu.”

Hadis ini menjadi bukti bahawa segala kebaikan yang dilakukan sebelum seseorang memeluk Islam tidak terpadam begitu sahaja. Ia menjadi asas yang memudahkan penerimaan hidayah. Maka segala bentuk sedekah, kejujuran, empati atau usaha memahami amalan Islam oleh bukan Muslim boleh menjadi “pelaburan rohani” yang membuka pintu hati.

Kita meraikan usaha murni itu dengan penuh harapan. Walaupun secara ijmak, ibadah tertentu tidak diterima tanpa syarat iman, kita tetap berdoa agar setiap percubaan yang lahir daripada keikhlasan menjadi asbab turunnya petunjuk atau hidayah. Namun dalam masa yang sama, kita perlu menjaga batas. Rukun dan upacara tertentu dalam agama ini kekal menjadi amanah khusus buat umat Islam demi memelihara kesuciannya. Keterbukaan tidak bererti kehilangan prinsip.

Berlaku adillah wahai saudaraku

Namun cabaran sebenar bukanlah pada isu penggunaan kalimah, tetapi pada konsistensi kita dalam menegakkan keadilan. Islam menuntut keadilan yang tidak mengenal warna jersi politik. Firman Allah menegaskan agar kita berlaku adil walaupun terhadap diri sendiri atau orang yang kita cintai. Keadilan adalah pakaian orang bertakwa.

Dalam realiti politik tanah air, sering kali fatwa dan pandangan agama digunakan secara selektif. Ia menjadi tajam terhadap lawan politik tetapi tumpul terhadap sekutu sendiri. Apabila seorang ahli parlimen bukan Muslim menyebut “Alhamdulillah” di Dewan Rakyat, ia menjadi polemik sensasi. Namun dalam keadaan lain, individu yang dekat dengan kelompok tertentu melakukan perkara yang sama, lalu ia diraikan tanpa kritikan.

Persoalannya ialah di manakah konsistensi? Adakah prinsip agama bergantung kepada “siapa” yang melakukannya dan bukan “apa” yang dilakukan? Jika kita hanya berani menegur musuh tetapi membisu di hadapan rakan, kita sebenarnya sedang mencalarkan integriti Islam itu sendiri.

Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin menuntut kejujuran moral. Kita tidak boleh menjadi “penjaga pintu syurga” yang membuka ruang untuk sekutu dan menutupnya untuk seteru. Integriti seorang Mukmin teruji apabila dia berani berkata benar walaupun terhadap kelompoknya sendiri. Tanpa konsistensi, agama akan dilihat sebagai alat politik, bukan pedoman ilahi.

Urusan Hati adalah Milik Allah

Lebih membimbangkan ialah kecenderungan menilai niat manusia. Dalam sejarah Islam, kisah Usamah bin Zaid RA menjadi peringatan besar. Ketika beliau membunuh seorang musuh yang sempat melafazkan syahadah, Rasulullah SAW menegur keras tindakannya. Baginda bertanya: “Adakah engkau telah membelah hatinya?”

Pengajaran ini sangat jelas bahawa kita tidak diberi mandat untuk menilai keikhlasan hati manusia. Urusan zahir adalah wilayah manusia, tetapi urusan batin adalah milik Allah. Dalam konteks hari ini, apabila seseorang bukan Muslim mengungkapkan kalimah syukur atau membaca ayat al-Quran untuk tujuan penjelasan, kita tidak berhak secara mutlak menghukum niatnya.

Mungkin ada yang melakukannya kerana politik.Terdapat keberangkalian yang melakukannya kerana hormat.  Terdapat juga keberangkalian yang sedang mencari makna. Kita tidak tahu. Dan kerana itulah, Islam mengajar kita husnuzon iaitu bersangka baik dan selagi tiada bukti jelas penghinaan atau penyelewengan.

Janganlah kerana ghairah berpolitik, kita cuba mengambil alih kerja Tuhan. Islam bukan agama kecurigaan melampau. Ia agama adab, hikmah dan kebijaksanaan.

Antara Budaya, Bahasa dan Syariat

Fenomena penggunaan istilah Islam oleh tokoh global bukanlah sesuatu yang ganjil. Kita melihat figura seperti Cristiano Ronaldo yang kadangkala menyebut “Insya-Allah” dalam interaksi awam. Di banyak negara Arab, ia dilihat sebagai ungkapan budaya dan bahasa yang mencerminkan pengiktirafan terhadap kekuasaan Tuhan, tanpa polemik yang melampau.

Mengapa di tempat lain ia diterima sebagai bahasa, tetapi di sini ia dipolemikkan sebagai ancaman? Adakah kita sedang menyempitkan keluasan rahmat Islam dengan tafsiran yang terlalu eksklusif?

Pandangan yang membezakan bahawa di negara Arab ia sekadar budaya, manakala di Malaysia ia bersifat eksklusif agama, perlu diteliti dengan lebih mendalam. Bahasa Arab adalah bahasa wahyu, tetapi ia juga bahasa manusia.

Islam tidak pernah menjadi milik geografi tertentu. Rahmatnya bersifat luas dan sejagat. Menyempitkan rahmat itu atas nama sempadan budaya atau politik adalah bertentangan dengan semangat risalah.

Rumusan: Rahmah yang Menyatukan

Islam untuk semua bukan slogan retorik. Ia prinsip yang memerlukan kematangan ilmu dan keluhuran akhlak. Ia menuntut kita bersikap terbuka tanpa menggadaikan prinsip, tegas tanpa menjadi keras, adil tanpa memilih bulu.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kematangan beragama adalah kunci keharmonian. Kita perlu membezakan antara perkara yang benar-benar mengancam akidah dengan perkara yang sekadar perbezaan budaya. Kita juga perlu berani menegur ketidakadilan dalam kalangan sendiri, bukan hanya terhadap lawan.

Akhirnya, Islam datang bukan untuk menghukum dunia, tetapi untuk menyinari dunia. Setiap kalimah syukur yang lahir dari bibir manusia—walau siapa pun dia—adalah tanda fitrah yang mengakui kebesaran Tuhan. Dan kebarangkalian inilah dan di situlah  akan bermula sebuah perjalanan menuju cahaya hidayah.

Justeru, rahmat itu luas, dan Islam sejak awal risalahnya, memang untuk semua.

— Abduh Wagiman berasal dari selatan tanah air dan graduan universiti di Timur Tengah. Aktif menjadi pendakwah bebas bertauliah di sekitar Lembah Klang. Telah menjalani tempoh pengajian  hampir 10 tahun di beberapa negara Arab dengan mengikuti sistem kuliah di universiti dan talaqqi  kitab di masjid bersama sheikh-sheikh Arab dan berpeluang mengikuti gerakan dakwah dan politik di Timur Tengah yang penuh dengan kepelbagaian dan keunikan dari segi kefahaman dan ketaksuban.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast