PUTRAJAYA – Malaysia menerima sembilan kotak naskhah al-Quran yang disumbangkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk dibahagikan kepada umat Islam di negara ini sempena Ramadan bagi meneruskan tradisi lebih 20 tahun kerajaan negara itu pada bulan mulia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, sumbangan al-Quran itu masing-masing tiga kotak bersaiz besar, standard dan terjemahan selain 10 kotak kurma yang akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Di samping itu, kata beliau, Program Hadiah 2 Penjaga Tanah Suci itu juga merangkumi penganjuran majlis berbuka puasa yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,800 individu.
“Hubungan antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi bukan sekadar hubungan diplomatik sebaliknya ia merupakan hubungan yang diasaskan atas kepercayaan dan nilai-nilai bersama, berakar umbi dalam sejarah.
“Ia terus diperkukuhkan melalui kerjasama erat dalam pengurusan haji dan umrah, promosi pendekatan wasatiyyah serta penyelarasan pandangan mengenai isu-isu berkaitan ummah Islam.
“Alhamdulillah pada tahun 2026, bersamaan dengan 1447 Hijrah, Malaysia sekali lagi berbesar hati menerima sumbangan ini,” katanya pada Program Penyerahan Hadiah Penjaga 2 Tanah Suci di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Hadir sama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, TYT Usamah Dakhil Al-Ahmadi.
Program Hadiah 2 Penjaga Tanah Suci merupakan satu inisiatif rasmi di bawah tajaan Kerajaan Arab Saudi melalui Program Khadim al-Haramain al-Sharifain sebagai simbol persaudaraan dan hubungan erat dua hala antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi.
Ia menjadi platform memperkukuh hubungan diplomatik, keagamaan dan strategik antara kedua-dua negara.
Zulkifli menambah, program itu juga merupakan manifestasi komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan dua hala yang berteraskan nilai persaudaraan Islam, diplomasi berhemah dan kerjasama strategik berterusan.
Katanya, ia juga dapat meningkatkan imej Malaysia sebagai rakan strategik dunia Islam selain mengukuhkan jaringan kerjasama antara institusi agama dan memberi nilai tambah kepada masyarakat Islam tempatan. – MalaysiaGazette
















