Sultan Pahang yang diringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah kandariah berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Kampung Teluk Gading dengan nama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Kampung Teluk Gading. foto Facebook Kesultanan Pahang.

KUALA LUMPUR – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan umat Islam bahawa masjid bukan sekadar mercu tanda keindahan seni bina yang megah pada pandangan mata.

Tetapi masjid adalah adalah jantung kehidupan ummah dan medan penyatuan hati-hati yang beriman.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh kariah agar menjadikan masjid ini sebagai pusat aktiviti masyarakat yang hidup, subur dan berdaya saing.

“Imarahkanlah dengan solat berjemaah yang istiqamah, majlis-majlis ilmu yang menyuburkan akal dan jiwa, serta aktiviti kebajikan yang mengeratkan ukhwah sesama kita.

“Janganlah kita biarkan masjid ini hanya tersergam indah pada rupanya, namun sunyi daripada pengisian rohani dan kehangatan persaudaraan,” titah baginda sempena Majlis Perasmian Masjid Kampung Teluk Gading malam tadi.

Baginda turut mengingatkan umat Islam jangan sesekali masjid dijadikan hak eksklusif mana-mana kelompok semata-mata sehingga menyebabkan sebahagian masyarakat merasa terpinggir atau tidak didekati.

Oleh itu, baginda mahu pengurusan masjid dilaksanakan dengan penuh amanah, telus dan berintegriti supaya masjid ini benar-benar menjadi payung kesejahteraan, perpaduan dan kesejahteraan ummah seluruhnya.

Baginda juga menyeru seluruh umat Islam agar terus berpegang teguh kepada akidah yang berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW serta menjauhi segala bentuk ajaran sesat dan penyelewengan yang boleh merosakkan keimanan dan keharmonian negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast