KUALA LUMPUR – Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr. Loga Bala Mohan senada dengan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai peluang cerah untuk diangkat sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ini kerana, kata beliau, sebagai Presiden UMNO, Ahmad Zahid memiliki autoriti struktur parti serta jentera akar umbi yang kukuh untuk mengembalikan kekuatan gabungan tersebut pada PRU-16.
Menurutnya, meskipun hanya memenangi 30 kerusi pada pilihan raya umum lalu, namun lebih 20 kerusi hanyalah kekalahan tipis, manakala beberapa kerusi lain terkesan akibat perpecahan undi dan faktor calon.
Ujar beliau, angka itu membuktikan Barisan Nasional (BN) masih kekal kompetitif di banyak kawasan dan perubahan kecil dalam pola sokongan pengundi boleh mengubah keputusan secara signifikan.
Tambahnya, di bawah kepimpinan Ahmad Zahid, BN berpeluang memperbaiki kelemahan lalu, memperkukuh pemilihan calon serta mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru yang sebelum ini memecahkan undi.
“Dengan strategi yang lebih tersusun dan penyatuan dalaman yang mantap, sasaran untuk mencapai lebih 70 kerusi Parlimen dalam PRU-16 adalah sesuatu yang realistik.
“Rakyat kini semakin mengutamakan kestabilan politik, kepimpinan berpengalaman dan tadbir urus yang tersusun — dan Ahmad Zahid mewakili kesinambungan pengalaman serta pembaharuan strategi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Khairy menyifatkan Ahmad Zahid mempunyai peluang cerah untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya selepas UMNO dilihat satu-satunya parti dominan yang kekal stabil dan bebas daripada pergeseran dalaman.
Sementara itu, Loga Bala Mohan turut menyifatkan inisiatif penubuhan Rumah Bangsa juga merupakan langkah strategik untuk menghimpunkan semula bekas ahli UMNO serta memperkukuh kekuatan politik Melayu.
Ujarnya, penyatuan semula kepimpinan dan akar umbi itu akan terus mengukuhkan kedudukan BN serta memperkukuhkan lagi laluan Ahmad Zahid ke jawatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, tambahnya, BN dalam masa sama perlu memperkukuh pendekatan terhadap semua komuniti, khususnya masyarakat India.
Ini kerana, ujarnya, ramai dalam kalangan masyarakat India berasa terpinggir dan kurang diberi perhatian sama ada oleh kerajaan mahupun pembangkang.
“Pelan yang komprehensif dan ikhlas dalam aspek pendidikan, pemerkasaan ekonomi, pembangunan belia dan mobiliti sosial amat diperlukan.
“Dengan komitmen yang jelas dan boleh diukur, BN berpotensi meraih kembali sokongan kukuh pengundi India, khususnya di kawasan campuran,” katanya.
Tambahnya, PPP percaya sekiranya momentum politik semasa berterusan dan BN tampil bersatu serta strategik di bawah kepimpinan Ahmad Zahid, kemungkinan beliau menjadi Perdana Menteri bukan sekadar spekulasi, tetapi satu realiti politik yang mampu dicapai. – MalaysiaGazette
















