Muhammad Farid Mohd Mumazaini.

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu mendesak kerajaan negeri menjelaskan kepada rakyat berhubung penahanan Exco negeri itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketuanya, Muhammad Farid Mohd Mumazaini berkata, sekiranya dakwaan itu benar, ia merupakan kesalahan serius kerana terkait soal integriti dan amanah dalam pentadbiran negeri.

Apatah lagi, ujarnya, apabila tindakan tersebut melibatkan syarikat milik kerajaan negeri yang sepatutnya diurus secara telus dan profesional.

Lebih memalukan, tambahnya, perkembangan itu berlaku  selepas negara dikejutkan dengan penahanan anak kepada Menteri Besar Pas Perlis yang disiasat berkaitan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM600,000.

“Kini episod yang sama seolah-olah berulang di Terengganu. Persoalannya, di manakah integriti yang selama ini dilaungkan Pas?

“Bersihkah Pas seperti yang sering didakwa, atau slogan “Prihatin, Bersih dan Stabil” itu hanyalah topeng politik yang runtuh apabila berdepan dengan realiti kuasa?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media melaporkan SPRM Terengganu menahan seorang Exco kerajaan negeri itu kerana disyaki salah guna jawatan dan kedudukan dengan mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat GLC di negeri itu.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira 11.15 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.

Sementara itu, Muhammad Farid mendesak Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan pendirian bersabit kes itu, sama ada Exco terlibat akan digantung tugas sementara siasatan dijalankan.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan sama ada audit dalaman akan dibuat terhadap semua lantikan dalam GLC negeri bagi memastikan tiada unsur kronisme dan nepotisme.

“Apabila kuasa digunakan untuk kepentingan keluarga, ia menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

“Pas tidak boleh terus bercakap soal moral dan integriti jika dalam masa yang sama gagal menunjukkan contoh kepimpinan yang telus dan bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast