KUALA LUMPUR – Pemuda Gagasan Rakyat dengan tegas menolak sebarang tuntutan oleh Filipina ke atas Sabah yang tidak mempunyai asas perundangan mahupun legitimasi sejarah.
Pemangku ketuanya, Azrul Ibrahim berkata, Sabah merupakan sebahagian yang sah dan berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan kedudukan itu telah dimuktamadkan melalui proses sejarah serta kerangka perundangan antarabangsa.
Menurutnya, pendirian itu selaras dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini yang mengulangi ketegasan Sabah dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia serta menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang tuntutan sedemikian.
“Kami berpandangan bahawa isu ini tidak seharusnya dibangkitkan semula kerana ia berpotensi menjejaskan hubungan baik serantau serta mencetuskan kegusaran antara negara terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) semalam, yang menegaskan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah susulan perbincangan mengenai peta pentadbiran 2012 yang memaparkan wilayah berkenaan.
Jurucakap Hal Ehwal Maritim DFA, Rogelio Villanueva berkata, penggubalan Akta Zon Maritim Filipina 2024 tidak memansuhkan Seksyen 2 Republic Act 5446 yang mentakrifkan garis dasar wilayah Filipina dan tidak menjejaskan tuntutan sedia ada ke atas sebahagian Borneo Utara.
Sementara itu, Azrul menyeru seluruh rakyat Sabah khususnya anak muda untuk terus bersatu hati dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam mempertahankan kedaulatan negeri itu.
Menurutnya, dalam menghadapi sebarang cabaran, perpaduan rakyat adalah kekuatan utama yang perlu dipelihara.
Tegas beliau, Sabah adalah tanah air yang dibina atas asas keamanan, keharmonian dan kedaulatan yang tidak boleh dikompromi.
“Dalam soal kedaulatan, pendirian kita jelas — tegas, konsisten dan tidak berkompromi. Sabah kekal bersama Malaysia, dulu, kini dan selamanya,” katanya. – MalaysiaGazette
















