KUALA LUMPUR – Lima ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) memohon menyemak semula persoalan perlembagaan berkenaan cadangan merujuk Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) di antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) kepada Mahkamah Persekutuan.
Permohonan berkenaan dikemukakan oleh peguam yang mewakili kelima-lima ahli Parlimen berkenaan, S Karthigesan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Jelasnya, kesemua anak guamnya memerlukan masa untuk meneliti dan mungkin memperluas persoalan yang dikemukakan, mengambilkira perkembangan terbaharu di AS.
“Jadi, kita akan menambah baik persoalan-persoalan yang kita bangkitkan supaya ia boleh merangkumi isu yang telah berlaku di AS kerana kami percaya ia ada kesan langsung terhadap kes di mahkamah (ini) berdasarkan perjanjian di antara Malaysia dengan AS,” katanya ketika ditemui hari ini.
Mahkamah memberikan masa kepada para plaintif sehingga 2 Mac ini untuk memfailkan permohonan kebenaran mereka.
Sementara itu, beliau memaklumkan Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan pada hari ini memberitahu mahkamah pihak kerajaan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula tersebut.
Sehubungan itu, katanya, Hakim, Amarjeet Singh memberikan tempoh sehingga 16 Mac ini untuk permohonan itu difailkan.
Sebagai rekod, pada 12 Febuari lalu lima ahli Parlimen PN iaitu Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Datuk Awang Solahuddin Hashim (Pendang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Abdul Khalid Abdullah (Rompin) memohon merujuk persoalan perlembagaan berhubung kesahihan ART Malaysia-AS ke Mahkamah Persekutuan.
Mereka berhasrat untuk mencabar kesahihan ART yang ditandatangani antara Malaysia dan AS pada Oktober lalu.
Sementara itu, Rosol hari ini menyifatkan keputusan Mahkamah AS membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak bertindak mengikut prosedur dan Perlembagaan Persekutuan dalam pemeteraian MoU ART.
Beliau turut mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap Anwar dan Tengku Zafrul kerana sebelum ini bertindak secara tergesa-gesa.
“Menerusi keputusan Mahkamah AS, nampaknya ia menjelaskan lagi tindakan ini (kami) adalah benar maknanya menurut perlembagaan dan ertinya apa apa yang dibuat oleh Donald Trump adalah tidak berperlembagaan dan tindakan PMX dan Zafrul tidak berperlembagaan kerana tidak mengikut prosedur sepatutnya.
“Jadi perkembangan ini sekurang-kurangnya memberi ruang dan peluang untuk peguam (kami) dan rakyat memikirkan apa yang berlaku adalah tidak berperlembagaan. Saya memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat penyiasatan terhadap dan Tengku Zafrul yang tergesa-gesa,” katanya lagi.
Pada Jumaat, Mahkamah Agung AS memutuskan penggunaan kuasa darurat oleh Trump untuk mengenakan tarif yang digelar sebagai timbal balas terhadap hampir semua rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan.
Sambil mengekalkan keputusan mahkamah rendah, mahkamah tertinggi itu turut memutuskan Trump melangkaui kuasa presidennya apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 untuk mengenakan tarif global secara meluas, selain duti berkaitan fentanyl yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico. – MalaysiaGazette
















