KUALA LUMPUR – Cuti majoriti anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dibekukan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi bagi menghadapi sebarang bencana yang tidak dijangka.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu merupakan persediaan yang dilakukan setiap tahun.
Beliau menyifatkan anggota bomba sebagai insan yang luar biasa kerana cukup berjasa sebagai barisan hadapan ketika rakyat berdepan dengan pelbagai risiko.

“Mereka merupakan insan yang luar biasa, apabila berlaku apa-apa bencana merekalah barisan hadapan, orang pertama yang hadir ke tempat kejadian, sebagai tonggak penyelamat (bencana) dalam negara.
“Hari Raya ini kebanyakan anggota bomba cuti mereka terpaksa dibeku untuk menghadapi sebarang risiko,” katanya ketika hadir Program Sahur di di Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh awal pagi tadi.
Katanya, dia terharu dengan pengorbanan pasukan bomba dan kehadirannya pagi ini untuk menyuntik semangat mereka.
“Saya mahu anggota bomba tahu, mereka tidak pernah bersendiri. Pengorbanan dan jasa bakti mereka wajib kita hargai bersama,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Lantaran itu, tambahnya, kerajaan akan memastikan kebajikn anggota bomba dan penyelamat itu akan terus diperjuangkan dari semasa ke semasa.
“Dari segi kebajikan, perolehan aset kerajaan sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya untuk pastikan lebih kurang 15,000 orang anggota bomba berada dalam kesiapsiagaan yang paling sempurna.
“Walaupun ada kekurangan, masih ada ruang yang boleh diperbaiki, tapi kita komited,” tambahnya.
Sementara itu Hisham mengesahkan cuti 80 peratus anggota akan dibeku sempena Aidilfitri nanti.
”Ini kita kena buat awal sebab orang (anggota) nak rancang cuti masing-masing. Siapa boleh balik kampung dan tidak khususnya yang kampungnya di Sabah dan Sarawak, jadi rancangan ini kita buat awal,” ujarnya.
Terdahulu, Kor Ming meluang masa menggoreng kuey teow dan membuat teh tarik untuk para anggota bomba di balai tersebut sebelum mereka bersahur bersama-sama. – MalaysiaGazette
















