KUALA LUMPUR – Seramai tiga individu di Perlis diperintah menjalani khidmat masyarakat (PKM) selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas perbuatan membuang punting rokok di tempat awam.
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam satu kenyataan berkata, kesemua warga tempatan itu diarah menjalani PKM selama lapan jam dalam tempoh enam bulan selaras dengan peruntukan Seksyen 77B(1) Akta 672.
Ujarnya, sekiranya gagal melaksanakan PKM, mereka boleh dikenakan denda tambahan sebanyak RM2,000, gagal bayar penjara selama dua bulan.
Selain itu, tambahnya, mahkamat turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 terhadap setiap pesalah dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, boleh dipenjarakan selama 30 hari.
“Tindakan penguatkuasaan ini menegaskan komitmen SWCorp dalam memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan kebersihan awam, khususnya di kawasan tumpuan masyarakat yang memerlukan kawalan berterusan bagi mengekalkan kualiti kebersihan persekitaran,” katanya.
Tambahnya, sehingga 25 Februari lalu, Perlis telah merekodkan sebanyak 35 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) melibatkan 34 kes warganegara tempatan dan satu kes warganegara asing.
Daripada jumlah itu, ujarnya, tiga kes telah dijadualkan untuk prosiding sebutan di mahkamah pada hari ini manakala dua kes lagi pada 12 Mac depan.
Secara keseluruhan, jelasnya, SWCorp telah mengeluarkan sebanyak 941 NPK di tujuh negeri yang melaksanakan Akta 672 melibatkan 741 warganegara tempatan dan 200 warganegara asing.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SWCorp, Khalid Mohamed menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan kebersihan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan serta berkesan.
Menurut beliau, pelaksanaan PKM mencerminkan pendekatan pembetulan tingkah laku yang memberi peluang kepada pesalah untuk merasai sendiri cabaran kerja-kerja pembersihan awam.
Jelasnya, ia sekali gus menyedarkan pesalah tentang kesan perbuatan tersebut terhadap persekitaran dan kesejahteraan masyarakat.
“Seiring dengan itu, orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang kesalahan berkaitan kebersihan kepada SWCorp melalui talian WhatsApp 013-210 7472 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://swcorp.spab.gov.my,” katanya. – MalaysiaGazette
















