Datuk Haryaty Hamdzah.

KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO, Datuk Haryaty Hamdzah akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung isu pelaksanaan satu pekeliling pentadbiran di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Melaka berkata, memorandum itu menyentuh kebimbangan berhubung penetapan indeks prestasi utama (KPI) penerbitan jurnal berindeks sebagai kriteria tambahan dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LPPT), serta implikasi pelaksanaannya terhadap pensyarah.

Menurutnya, turut dibangkitkan adalah dakwaan tindakan tatatertib dan unsur intimidasi terhadap pensyarah yang menyuarakan pandangan berbeza berkaitan pekeliling berkenaan.

Ujarnya, sebagai pemimpin masyarakat dan wakil suara wanita, beliau berpandangan sebarang dasar yang memberi kesan langsung kepada kerjaya dan integriti profesional warga akademik perlu dilaksanakan secara telus, adil dan berlandaskan prinsip kebebasan akademik.

Tambahnya, KPI yang baik harus mendorong kecemerlangan, bukan mencetuskan ketakutan atau tekanan yang tidak seimbang.

“Tujuan penyerahan memorandum ini adalah untuk memohon campur tangan dan siasatan bebas oleh Kementerian Pengajian Tinggi agar segala dakwaan dapat diteliti secara objektif dan profesional.

“Kita mahu memastikan bahawa tadbir urus universiti sentiasa berpaksikan keadilan, integriti dan kepentingan pendidikan tinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Haryaty, institusi pengajian tinggi merupakan benteng ilmu dan pemikiran kritis, justeru, sebarang pelaksanaan dasar perlu mengambil kira kesejahteraan pensyarah serta kelangsungan ekosistem akademik yang sihat.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak KPT akan memberi perhatian serius terhadap perkara tersebut demi menjaga kredibiliti sistem pendidikan tinggi negara. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast