Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM.

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan bahawa Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) tiada kaitan dengan universiti itu.

Bahagian Komunikasi UKM dalam satu kenyataan memaklumkan, semakan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Selangor mengesahkan KSBB beroperasi sebagai entiti bebas.

Ujarnya, UKM tidak pernah memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama, logo, lambang atau identiti korporat UKM tanpa kelulusan bertulis yang sah.

“Universiti memandang serius sebarang penyalahgunaan identiti institusi dan berhak mengambil tindakar sewajarnya bagi melindungi integriti serta reputasi UKM,” katanya.

Tambah kenyataan itu, koperasi yang mempunyai kedudukan rasmi dan hubungan institusi dengan UKM adalah Koperasi UNIKEB Berhad serta Koperasi Alumni UKM.

Menurutnya, kedua-dua koperasi itu masing-masing berdaftar secara sah dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan beroperasi tertakluk kepada peraturan serta struktur tadbir urus yang ditetapkan.

Artikel berkaitan: LKAN: UKM sedang lakukan semakan rapi

Tiada sebarang kehilangan dana kutipan yuran pelajar UKM – KSBB

Sebelum ini, KSSB dalam satu kenyataan memberi jaminan tiada sebarang kehilangan dana hasil kutipan yuran pelajar UKM seperti yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026.

Pengurus Koperasi Siswazah Bangi Berhad, Dr. Muhammad Hafiz Md Saad berkata, semua kutipan telah diuruskan dan diserahkan kepada UKM mengikut terma yang termaktub dalam perjanjian.

Tambah Muhammad Hafiz, prosedur pembayaran secara ansuran telah dipersetujui oleh pihak UKM sejak awal pelaksanaan bagi memudahkan pelajar dan telah berjalan lancar tanpa sebarang teguran sebelum ini.

Katanya, kerjasama yang bermula sejak tahun 2017 itu telah menjana hasil sebanyak RM90.56 juta kepada pihak UKM.

Kenyataan KSSB itu bagi menjawab pendedahan LKAN 1/2026 seperti dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu, berhubung ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKM bagi tahun kewangan 2024 melibatkan Program Sarjana Pendidikan (SPEND)dan Program Diploma Pendidikan (DPLI) berjumlah RM60.77 juta. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast