KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan Israel ke atas Iran serta tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang mengiringinya membawa Asia Barat ke ambang malapetaka.
Menurut Perdana Menteri, tindakan Israel memulakan serangan itu merupakan satu percubaan keji untuk mensabotaj rundingan yang sedang berlangsung dan mengheret negara-negara lain ke dalam konflik yang mungkin mustahil untuk dikawal.
Sehubungan itu, tegasnya, penghentian permusuhan secara serta-merta dan tanpa syarat adalah amat mustahak.
“Saya menggesa AS dan Iran untuk mencari jalan penyelesaian diplomatik dan bukannya terus meningkatkan ketegangan, serta menyeru masyarakat antarabangsa supaya bertindak dengan segera dan tanpa dwistandard,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Anwar menambah, kebimbangan beliau ketika ini adalah terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Iran dan di kawasan lain di rantau tersebut.
“Saya akan berhubung dengan rakan-rakan serantau mengenai langkah seterusnya dalam perkara ini,” katanya.
Media antarabangsa hari ini melaporkan Israel telah melancarkan satu serangan prapertahanan terhadap Iran, dengan letupan dilaporkan di beberapa wilayah di negara itu termasuk di Teheran.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mendakwa, tindakan itu diambil bagi `menghapuskan ancaman terhadap Israel’, susulan kebimbangan berterusan terhadap program nuklear serta pembangunan peluru berpandu Iran yang didakwa mampu menggugat keselamatan serantau. – MalaysiaGazette
















