KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza rasa terkilan dan dukacita terhadap tindakan pelajar universiti awam yang dilapor memuat naik foto memijak al-Quran dalam media sosial baru-baru ini.
Melalui hantaran di Instagram (IG) miliknya, penyanyi nombor satu negara itu menyifatkan insiden tersebut sebagai gambaran keruntuhan nilai adab dan moral dalam diri individu terbabit.
“Saya secara peribadi, amat terkesan dan berdukacita dengan tindakan melampau seorang individu yang tergamak menghina serta memijak naskhah suci al-Quran, sebagaimana yang tular baru-baru ini.
“Perbuatan berkenaan melukiskan gambaran hilangnya nilai adab dan hormat dalam diri manusia, yang jika dibiarkan, akan merosakkan moral generasi akan datang,” tulisnya.
Selasa lalu, tular di media sosial gambar kaki seorang lelaki memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut sebuah universiti awam.
Turut tular gambar suspek serta tangkap layar komen penuntut terbabit menghina Nabi Muhammad SAW.
Berikutan itu, seorang penuntut berusia 21 tahun direman empat hari bermula seharian kemudian sehingga semalam namun disambung tiga hari lagi bagi membantu siasatan susulan tular gambar lelaki memijak Al-Quran dan memuat naik di media sosial.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun dan denda.
Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar komunikasi bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut, atau mengganggu orang lain termasuk kandungan jelik. – MalaysiaGazette















