SHAH ALAM – Seorang lelaki dan rakan wanitanya masing-masing didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana menyembunyikan kelahiran dengan mengubur mayat bayi di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, bulan lalu.
Nur Atisha Balqis Ismail, 22, dan Muhamad Razi, 26, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di depan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Dalam masa sama, mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tambahan sembilan bulan sekiranya mereka gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, Nur Atisha dan Muhamad Razi didakwa telah menyembunyikan kelahiran dengan cara menguburkan mayat seorang bayi yang telah meninggal sama ada sebelum, semasa atau selepas dilahirkan, kira-kira pukul 7 petang pada 17 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, peguam Hazwan Hassan memaklumkan Mohamad Razi hanya bekerja sebagai buruh dengan gaji harian sebanyak RM100.
Sehubungan itu, beliau memohon hukuman terhadap anak guamnya diringankan.
“Tiada niat sembunyikannya. Bayi itu telah gugur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21. Ini kesalahan pertamanya dan tertuduh insaf serta berharap dikenakan denda sahaja,” jelasnya.
Sementara itu, Peguam Muhamad Saifullah yang mewakili Nur Atisha turut memohon hanya dikenakan denda ekoran anak guamnya ialah pesalah muda dan merupakan kesalahan pertama.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari. – MalaysiaGazette
















