Mohd Asna Amin

KUALA LUMPUR – Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mohd Asna Amin mempersoalkan sikap Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin yang seolah-olah menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhubung isu kehadiran Ahli Parlimen ketika pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026.

RUU ini bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun di Dewan Rakyat, kelmarin.

Asna Amin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata, Kee Chin sepatutnya memahami cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri merupakan agenda dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), bukannya manifesto BN.

“Kenapa YB Rasah nampak terlalu marah kepada Presiden UMNO dan BN ini? Hadkan jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun itu bukan manifesto BN tetapi manifesto PH.

“Kerajaan hari ini pula adalah Kerajaan Perpaduan, bukannya kerajaan PH semata-mata,” tulisnya dalam Facebook beliau.

Asna berkata, Kee Chin yang juga pemimpin DAP Negeri Sembilan perlu menjelaskan sumber kononnya BN akan bertanding sebanyak 116 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Sumber dari mana YB Rasah ambil BN akan bertanding 116 kerusi pada PRU16? Pengerusi BN tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya sendiri hadir dalam permukiman baru-baru ini namun tidak pula dengar daripada Pengerusi BN bahawa BN akan bertanding lebih 115 kerusi,” soal beliau.

Tangkap layar Cha Kee Chin semalam di Facebook beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, tiga Ahli Parlimen yang dibangkitkan oleh Cha mempunyai keadaan berbeza sehingga tidak hadir ketika pengundian.

Menurutnya, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 27 Januari 2023.

Katanya, Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan dari MIC pula dilihat mempunyai kecenderungan politik yang tidak jelas apabila parti itu sebelum ini pernah menghantar surat menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional.

Seorang lagi, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir pula kini berada di hospital.

“Jika YB Rasah sakit, adakah YB akan datang ke Parlimen? Sudah tentu tidak kerana orang sakit berada di hospital, bukan di Parlimen,” katanya.

Sehubungan itu, Asna mengingatkan Kee Chin  supaya memastikan maklumat yang diperoleh adalah tepat sebelum membuat sebarang dakwaan.

“Sebagai Ahli Parlimen, YB Rasah perlu jaga ‘standard’ dan semak sumber terlebih dahulu. Jangan ambil maklumat separuh masak,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tp Azalina kaa tujuan ni adalah berdasarkan manisfesto kerajaan.. ker Azalina dah masuk PH?

Comments are closed.