SEORANG pesalah menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM), di Stulang Laut, Johor Bahru, baru-baru ini.

SEPANG – Sebanyak 973 kes berkaitan perintah khidmat masyarakat (PKM) kerana kesalahan membuang sampah kecil merata-rata direkodkan setakat semalam.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah itu, seramai 764 pelaku merupakan warga tempatan, manakala selebihnya warga asing.

“Sebanya 45 kes sudah pun selesai di peringkat mahkamah,” katanya ketika ditemui pada program Libat Urus Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran Sempena Ramadan 2026 di Bazar Ramadan Taman Putra Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu beramah-mesra bersama peniaga pada Sesi Libat Urus Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Sempena Ramadan 2026 di Bazar Ramadan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MAC 2026.

Menurut Aiman Athirah, PKM Fasa Kedua akan dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Kita nak ingatkan setelah adanya pindaan tiga akta dan adanya PKM, tolong berhati-hati sebab di bazar-bazar Ramadan kita ada pengintip.

“Jadi peniaga dan pembeli jangan buang sampah walaupun puntung rokok kerana ia boleh menjadi musibah kepada pelaku,” jelasnya.

Sebagai rekod, PKM yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu merupakan sebahagian penguatkuasaan lebih tegas terhadap tabiat membuang sampah di tempat awam.

Pelaku yang didapati membuang sampah merata-rata boleh didenda RM2,000 dan wajib menjalani kerja-kerja pembersihan awam selama 12 jam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast