KUALA LUMPUR – Pemimpin lapan parti politik utama berteraskan Melayu, bumiputera dan Islam buat julung kalinya mengadakan musyawarah di Ibu Pejabat UMNO di sini, petang tadi yang dipengerusikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Lapan politik utama yang terlibat adalah UMNO; Pas; Parti Keadilan Rakyat (PKR); Parti Amanah Negara (Amanah); Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, KIMMA dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan).
Menurut Asyraf Wajdi, beliau diamanahkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah itu yang dicetuskan Presiden UMNO berkenaan untuk menghimpunkan pelbagai parti-parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.
Jelasnya, musyawarah itu menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama melibatkan Islam, Melayu dan bumiputera di negara ini.
“Hakikatnya, dalam sistem demokrasi, parti-parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang.
“Perbezaan itu adalah lumrah dalam politik. Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.
Tambah Asyraf Wajdi, dalam mesyuarat itu, semua pihak sepakat supaya Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan bumiputera ditubuhkan.
Menurutnya, ia sebagai platform atau wahana yang akan menyediakan ruang untuk perbincangan, perundingan dan dialog terbuka, tulus dan telus secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan bumiputera.
Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 lalu, Ahmad Zahid menyatakan hasrat UMNO untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali ‘kolaborasi agung’, tanpa berhajat untuk menggugat Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette















